ISU cuka arak yang tular dalam sebuah video di media sosial baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dan tanda tanya terutamanya kepada seluruh umat Islam.
Salah satu menu yang dijual oleh sebuah restoran di Sri Petaling, Selangor itu adalah nasi ayam claypot yang mana mereka menggunakan bahan yang tidak halal.
Ekoran daripada isu tersebut, Pakar Industri Halal Negara, Ustaz Mohd Amri Abdullah terpanggil untuk menjelaskan mengenai penggunaan sesuatu bahan yang mengandungi arak di dalam makanan.
"Isu ini dah lama berlaku sebenarnya dan berdasarkan pengalaman saya, antara kicap yang digunakan di kebanyakan restoran yang menjual makanan Cina adalah sama dengan yang ditunjukkan dalam video tersebut," katanya.
Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2006 memutuskan bahawa penggunaan cuka arak atau bahan lain yang mengandungi arak dalam penyediaan makanan adalah haram.
"Mabuk atau tidak, hukumnya tetap haram, kerana ia adalah arak.
“Kalau ia arak walaupun sedikit ataupun arak yang disulingkan masih tetap arak, kalau cuka arak maka hukumnya haram, jadi berhati-hatilah,” jelasnya lagi.
Menerusi video penjelasan Ustaz Mohd Amri, beliau turut menekankan bahawa najis arak itu sendiri bukan kerana ia memabukkan atau tidak, masih hukumnya haram.
Alkohol versus arak
Pada masa yang sama, video penjelasan yang dikongsikan di Twitter (X) juga mendapat pelbagai reaksi dan pendapat daripada pengguna lain.
Seorang pengguna akaun @danialium96 juga tidak terkecuali untuk terlibat sama dalam perbincangan berkenaan isu tersebut.
"Kalau alkohol level 0.001 peratus boleh ke? Ada sebuah bakeri yang popular di Mid Valley dan saya banyak kali juga makan pastri mereka.
"Sejak dari itu, saya tidak beli dari kedai mereka," komennya.
Menjawab kepada persoalan tersebut, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bukan semua alkohol itu adalah arak tetapi alkohol yang diperoleh daripada proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
Berikut penjelasan lanjut mengenai hal tersebut.
1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Bagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperoleh daripada proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
2. Manakala alkohol yang diperoleh bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
3. Minuman ringan yang boleh diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1 peratus v/v adalah harus (boleh) diminum.
4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semula jadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan atau diminum.
6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5 peratus.
7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram