Ketahui 3 hukum termasuk haram jika jemaah sibuk rakam foto, selfie depan Kaabah


  • Massa
  • Selasa, 20 Jun 2023

Mohd Izhar berkata, secara umumnya, hukum bergambar dan berswafoto di hadapan Kaabah adalah harus. — Agensi

AKTIVITI mengambil gambar termasuk berswafoto atau selfie kini dilihat sudah menjadi sebahagian daripada tabiat semua peringkat umur tidak kira tempat, masa ataupun waktu.

Sikap itu didorong sebahagiannya hasil daripada penggunaan sosial media yang seperti 'memaksa' penggunanya mengikut trend untuk sentiasa berkongsikan hampir segala perkara dilakukan di platform tersebut.

Pada masa sama, normalisasi tabiat tersebut kini turut terbawa-bawa ketika seseorang individu itu melakukan aktiviti ibadah.

Malah, kebiasaan tersebut turut menimbulkan isu apabila baru-baru ini, Jawatankuasa Pengelola Haji (PPIH) Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia mengeluarkan kenyataan supaya jemaahnya tidak negara itu tidak berlebihan ketika mengambil swafoto di depan Kaabah semasa menunaikan kewajipan kelima ibadah umat Islam itu.

Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, hukum berswafoto atau bergambar di depan Kaabah secara asasnya adalah harus.

Jelasnya, ketetapan itu diakui oleh institusi bertanggungjawab mengeluarkan fatwa di Mesir iaitu Dar al-Ifta yang menjelaskan bahawa hukum perbuatan tersebut adalah harus dan dibenarkan termasuk kepada jemaah haji dan umrah.

"Jadi tiap perkara itu harus selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya. Jadi sama juga dengan aktiviti bergambar di hadapan atau berlatarbelakangkan Kaabah.

"Setakat ini tidak ada ketetapan fatwa kolektif daripada ulama seluruh dunia yang mengatakan bahawa perkara ini diharamkan," katanya ketika dihubungi Majoriti.

TOPSHOT - Muslim pilgrims circumambulate around the Kaaba, Islam's holiest shrine, during the annual Hajj pilgrimage at the Grand Mosque in Saudi Arabia's holy city of Mecca on July 6, 2022. - One million fully vaccinated Muslims, including 850,000 from abroad, are allowed at this year's hajj in the city of Mecca, a big rise after two years of drastically curtailed numbers due to policies to stop the spread of infection. (Photo by Delil SOULEIMAN / AFP)

Tindakan berswafoto di depan Kaabah itu menjadi haram jika perbuatan tersebut menjadi punca menyebabkan individu berkenaan dan jemaah lain gagal menyempurnakan rukun wajib haji atau umrah ketika bertawaf. — AFP

Namun begitu, Mohd Izhar berkata, aktiviti berswafoto oleh jemaah itu boleh bertukar menjadi makruh sekiranya ia dilakukan sehingga melalaikan mereka daripada melaksanakan amalan sunat ketika bertawaf di hadapan Kaabah.

"Tindakan itu boleh jadi makruh sekiranya waktu yang sepatutnya kita banyak baca al-Quran, tapi sibuk main telefon pintar atau berswafoto," ujarnya

Pada masa sama, Mohd Izhar berkata, tindakan berswafoto di hadapan Kaabah itu juga boleh jatuh haram jika perbuatan tersebut menjadi punca menyebabkan individu berkenaan dan jemaah lain gagal menyempurnakan rukun wajib haji atau umrah ketika bertawaf.

"Misalnya kita tahu bahawa salah satu rukun tawaf itu itu ialah bahu kiri kita tidak boleh teralih daripada menghadap Kaabah.

"Jadi dalam isu berswafoto ini, perbuatan tersebut jadi haram jika ia menyebabkan seseorang jemaah itu sibuk nak bergambar sehinggakan kedudukan bahunya teralih daripada menghadap ke arah Kaabah dan menyebabkan tawaf terbatal.

"Tindakan berkenaan juga jatuh haram jika perbuatan kita berswafoto itu menyebabkan ada jemaah lain yang ketika itu sedang tawaf terganggu dengan pergerakan kita yang sibuk bergambar sehingga menyebabkan bahu mereka teralih daripada arah kedudukan yang sepatutnya," jelas beliau.

Mohd Izhar berkata, perbuatan itu menjadi haram kerana secara ia langsung mengganggu jemaah daripada melaksanakan kewajipan yang ditetapkan dalam rukun haji atau umrah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan jemaah haji atau umrah Malaysia agar memilih waktu dan lokasi yang sesuai sekiranya mahu bergambar di hadapan atau berdekatan Kaabah.

"Contohnya, kalau nak bergambar, kita pilihlah waktu laluan di hadapan Kaabah itu tengah kosong. Ataupun rakam foto ketika berada di tingkat masjid yang turut boleh menampakkan latar belakang Kaabah tanpa ganggu orang lain," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram