Isteri berhak minta ‘dilepaskan’, ini penjelasan dalam Islam 


  • Mukmin
  • Isnin, 03 Apr 2023

Suami diharuskan untuk memberikan pilihan kepada isteri menceraikan diri sendiri. 

SEJAK kebelakangan ini, cerita mengenai masalah pergolakan rumah tangga selebriti dan individu terkenal tanah air mendapat liputan meluas media tempatan.

Pelbagai cerita dan kisah dalam kain menjadi sorotan dalam kalangan masyarakat.

Ada antaranya yang minta dilepaskan suami kerana sudah tidak sehaluan dan sukar untuk menemui titik penyatu dalam rumah tangga.

Disebabkan itu, penceraian menjadi solusi terbaik bagi mengelakkan daripada masalah berterusan di samping menyeksa batin masing-masing.

divorce

Penceraian itu satu hal yang dimurkai ALLAH dan diharapkan setiap pasangan yang ingin berumah tangga buat pertimbangan sebaiknya dahulu.

Selain meminta dilepaskan, timbul persoalan berkaitan suami memberikan pilihan kepada isteri untuk menceraikan diri sendiri.

Menurut pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah, perbuatan tersebut diharuskan berdasarkan pandangan ulama dan boleh berlaku melalui dua bentuk iaitu secara lafaz soreh (jelas dan terang) atau kinayah (kiasan).

Berdasarkan firman ALLAH SWT al-Quran surah Al-Talaq ayat 1 bermaksud: “Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri kamu, maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddah mereka, dan hitunglah masa iddah itu dengan betul.

“Menurut para ulama mazhab Syafie seperti Imam al-Khatib al-Syarbini dan Imam Syamsuddin al-Ramli, para ulama telah bersepakat bahawa diharuskan bagi suami untuk memberi pilihan kepada isteri untuk menceraikan dirinya sendiri, contohnya jika dia berkata kepada isterinya, talaklah diri kamu sendiri.

download

Terdapat beberapa situasi yang membolehkan wanita untuk menjatuhkan talak pada diri sendiri.

“Maka berdasarkan hal ini, suami boleh menyerahkan hak talak kepada isteri, dan si isteri mestilah terus membuat keputusan pada waktu itu juga. Hal ini kerana ia merupakan satu bentuk tamlik (pemilikan talak) yang memerlukan kepada qabul (lafaz menerima akad) seperti dalam jual beli,” jelasnya.

Terdapat jua situasi yang boleh menyebabkan isteri terbabit jatuh talak secara dan tidak akan kembali selagi suami tidak menarik semula.

“Namun jika suami berkata, talaklah diri kamu sendiri pada bila-bila masa yang kamu mahu, maka isteri boleh berbuat demikian pada masa yang dia mahu, dan talak akan jatuh selagi suami tidak menarik kembali pilihan tersebut.

“Talak juga akan jatuh jika lafaz suami dan isteri itu diucapkan dalam bentuk lafaz soreh, contohnya suami berkata, talakkanlah dirimu sendiri atau secara lafaz kinayah jika disertai dengan niat, contohnya suami berkata pisahkanlah dirimu daripadaku.

“Suami juga berhak untuk menarik kembali pilihan yang yang diberikan sebelum isterinya membuat keputusan, dan dalam keadaan tersebut batallah talak,” katanya.

Secara kesimpulan, suami berhak untuk memberi pilihan kepada isteri untuk menceraikan dirinya sendiri, dan perkara tersebut diharuskan melalui ijmak (kata sepakat) oleh para ulama. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram