Elak didik hati dengan nafsu antara usaha ‘heret’ diri jauhi lembah maksiat 


  • Sihat
  • Isnin, 23 Jan 2023

Sentiasa berdoa dan memohon keampunan ALLAH agar memberi kekuatan untuk menjauhikan diri daripada melakukan perkara tertentangan dengan agama.

MENUDING jari ataupun meletakkan kesalahan kepada anasir lain antara tindakan yang selalu dilakukan terutama apabila seseorang terlibat dalam kancah maksiat mahupun tersasar daripada matlamat hidup.

Antaranya seperti kurang didikan agama daripada ibu bapa, pergaulan bebas dan dunia teknologi yang tanpa sempadan kerap dituduh menjadi punca kepada permasalahan sosial.

Namun, bagaimanapun dengan sifat mahupun tindakan yang dilakukan oleh individu itu sendiri yang membuka peluang secara rela kepada perkara negatif sehingga membentuk sebagai sifat dan sikap.

Begitu juga dengan masalah ketagihan bahan pornografi yang kini terlalu mudah boleh didapati di mana sahaja. Bagai kata bijak pandai, segalanya kini sudah dihujung jari. Sama juga dengan maksiat yang terlalu mudah tersebar sekali gus bersarang di hati.

Segalanya sudah jelas dalam al-Quran menerusi firman ALLAH SWT: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Mu’minum: ayat 5 hingga 7)

Kekerapan dalam melakukan maksiat bimbang akan menyebabkan hati semakin keras dan hitam untuk melakukan perkara kebaikan sehingga sanggup melakukan perkara terlarang dan membelakangkan agama Islam.

Menurut Ustaz Ahmad Adnin Roslan, mencampurkan aduk antara amalan kebaikan dan maksiat akan menjejaskan keteguhan iman.

majoriti2023 (9)

“Asasnya ibadah kita lakukan kerana ALLAH. ALLAH akan terima dan akan mendapat pahala. Manakala segala maksiat yang kita buat akan mendapat dosa. Itu asasnya.

“Tetapi, yang menjadi masalh ialah apabila kita mencampuradukkan amalan kebaikan dan maksiat. Sebagai contoh rajin solat, tetapi tidak tutup aurat. Menghafal al-Quran, tetapi tidak menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

“Apabila terlama kita berbuat demikian dalam mencampurkan haq dan batil, lama-kelamaan hati kita akan rosak iaitu menidakkan kebaikan,” terangnya.

Ahmad Adnin terus menasihatkan agar bertaubat setelah melakukan kesalahan dan berusaha untuk meninggalkan perbuatan terlarang atau maksiat.

Sekiranya berterus membiarkan diri dikuasai dengan nafsu, maka dosa yang terkumpul akan mematikan hati dan menyebabkan diri berasa berat untuk beribadah.

“Jadi secara kesimpulannya jangan biarkan diri kita berterusan dalam berbuat dosa. Cuba sedaya upaya untuk memohon ampun kepada ALLAH dan meninggalkan maksiat.

“Cari kawan yang boleh menasihatkan dan membimbing kita agar dapat duduk dalam suasana yang baik. Cuba gantikan perkara maksiat yang pernah dilakukan dengan ibadah kepda ALLAH dan amal soleh.

“Mohonlah kekuatan daripada ALLAH agar diberikan kekuatan meninggalkan maksiat dan diberikan kemanisan iman. Insya-ALLAH usaha sedikit demi sedikit itu tidak sia-sia,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram