Kecewa boleh jadi ‘penawar’ supaya lebih dekat dengan ALLAH 


  • Mukmin
  • Jumaat, 30 Dis 2022

Tak salah memaafkan seandainya itu yang mampu membuatkan kita tenang dan bahagia. — Gambar hiasan

KATA orang luka di tangan nampak berdarah, luka di hati entah siapa yang tahu. Begitulah gambaran kekecewaan yang dirasakan oleh seseorang yang sedang berdepan kegagalan mahupun pengkhianatan.

Tentu sahaja bukan mudah untuk dilupakan, lebih-lebih lagi apabila perkara itu memberikan kesan mendalam terhadap emosi dan mental.

Bagaimanapun, adakah dengan cara begitu dapat menimbulkan ketenangan dalam hati sekali gus melepaskan segala dendam dan kemarahan yang terpendam?

Jawapannya tentu sahaja dengan kemaafan dan menerima hal tersebut dengan hati terbuka, insya-ALLAH reda akan takdir Tuhan dapat membantu untuk menjalani kehidupan dengan lebih tenang.

man-praying-floor-indoors

Menyingkap semula pesanan ringkas oleh pendakwah bebas, Izzhar Nazri mengenai memaafkan dan berdamai dengan takdir;“Saya boleh memaafkan, tetapi tidak boleh melupakan.”

Tidak dinafikan perasaan marah dan kecewa itu pastinya ada dalam diri manusia yang sesungguhnya dikurniakan dengan emosi.

Namun, ujar beliau, Rasulullah SAW mengajarkan setiap umatnya untuk menjadi pemaaf, tetapi bukan pula pelupa.

“Kita ini bukan robot yang boleh delete (memadam) mana-mana memori yang kita tidak inginkan,” jelas Izzhar.

girl-love-boyfriend-divorce-background

Baginya, ingatan terhadap sesuatu perkara lebih-lebih lagi melibatkan hal mengecewakan atau kesakitan itu perlu ada, agar dapat dijadikan sebagai ‘guru’ untuk menjadi lebih dewasa.

Kesakitan itu juga katanya, perlu untuk mendidik agar tidak meletakkan harapan melebihi setinggi gunung kepada manusia hingga menyebabkan kekecewaan terutama apa yang dirancang tidak menjadi seperti diharapkan.

“Perik itu mesti kena ingat, supaya kita ini akan berasa serik untuk buat lagi. ALLAH tidak silap memberi kesakitan.

“Suatu hari nanti kita akan berterima kasih dengan kesakitan sebab kita mula sedar kesakitan inilah kita mula menjadi hamba yang semakin jatuh cinta dengan ALLAH,” ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram