Peganglah 'senjata' paling ampuh ketika berdepan ujian dunia


  • Mukmin
  • Isnin, 19 Dis 2022

Sentiasa mendekatkan diri dengan TUHAN dan berdoa memohon kekuatan merupakan perkara yang digalakkan ketika berhadapan dengan musibah.

MUSIBAH merupakan antara dugaan atau cabaran yang dihadapi oleh setiap insan di atas muka bumi ini. Pelbagai jenis musibah yang menimpa antaranya bencana alam, wabak penyakit, kekurangan hasil tanaman, kehilangan orang tersayang, kelaparan atau tidak kecukupan.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami kembali.” (Surah Al-Baqarah: ayat 155).

Musibah yang berlaku meningkatkan ketakwaan kita kepada ALLAH SWT. Yakin dan ikhlas dengan melakukan segala suruhanNYA dan meninggalkan segala laranganNYA.

Sesungguhnya, ALLAH menciptakan manusia agar dapat beribadah dan memperhambakan diri kepadaNYA. Sebagai hamba ALLAH dan manusia biasa, tentu sahaja seseorang itu akan berdepan dengan ujian dan dugaan.

Tidak mengira sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun kepayahan. Sesungguhnya, ujian adalah untuk menguji sejauh mana kekuatan iman dan kesabaran kita.

sitting-woman-reading-quran

Berhadapan dengan perkara itu, bersabar merupakan salah satu sifat tenang agar tidak terburu-buru mengambil tindakan.

Kesabaran merupakan kekuatan hati dalam menahan kesakitan, penderitaan mahupun kesusahan. Sabar juga merupakan salah satu sifat mazmudah dan merupakan senjata paling ‘kuat’ dalam menghadapi pelbagai dugaan hidup.

Sifat sabar itu juga membantu seseorang untuk menahan diri daripada marah terutama ketika mendapatkan sesuatu yang tidak disukai.

Menahan lidah daripada mengadu penderitaan kepada orang lain selain daripada ALLAH SWT. Menahan lidah daripada mengeluarkan kata-kata nista yang menyakitkan hati orang lain.

Dalam pada itu, kesabaran juga merupakan perhiasan diri bagi orang berakhlak.

Berlapang dada dan tidak berputus asa apatah lagi menyerah kalah serta bersangka baik dengan ujian ALLAH.

A lonely depressed person sitting near a brick wall with the Bible on his lap

Ingatlah bahawa ujian itu adalah fitrah dalam kehidupan kerana mampu menjadikan kita lebih matang serta dewasa.

“Dan boleh jadi kamu tidak menyukai kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: ayat 216)

Orang beriman akan melihat ujian sebagai rahmat yang mendekatkan diri dengan syurga ALLAH. Oleh itu, lihatlah setiap ujian dan dugaan hidup dengan sangkaan yang baik kerana walaupun sabar itu pahit mahupun sakit, tetapi yakinlah bahawa ALLAH akan menjanjikan keindahan dan kemanisan termasuk balasan syurga.

ALLAH sesungguhnya tidak akan menimpa ujian kepada seseorang di luar kemampuan hambanya. Begitu juga dengan dugaan yang menimpa seperti tekanan hidup sosial, emosi, kesempitan ekonomi seperti hutang-piutang, masalah rumah tangga, kegelisahan, tekanan kerja, majikan dan sebagainya.

Disebabkan itu setiap kali dilanda musibah, kita diwajibkan untuk bersabar, janganlah bersangka buruk terhadap ALLAH dengan berpendapat bahawa, kita orang yang paling malang, kerana setiap ujian itu pasti ada hikmahnya.

Tidak hanya bersabar dan bersangka baik, berusaha mencari jalan penyelesaian dan tidak putus harapan dengan rahmat ALLAH antara perkara yang boleh dilakukan apabila berhadapan dengan dugaan.

Rasulullah SAW bersabda: “Jangalah sesekali orang itu menginginkan mati kerana kesusahan yang menimpanya, dan jika terpaksa mengharapkan kematian, maka hendaklah dia berkata: Ya Tuhanku, berikanlah aku kehidupan jika ingin lebih baik bagiku dan matikanlah aku jika lebih baik bagiku dan matikanlah aku jika lebih baik bagiku.” (Hadis riwayat Anas R.A) Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram