
PENYEDIAAN makanan halal dan bersih penting dalam Islam terutama mementingkan soal kesucian.
Bukan sahaja bahan digunakan, malah penyediaan makanan juga perlu diambil kira terutama melibatkan individu yang menyediakan hidangan.
Tidak dinafikan terdapat beberapa restoran yang menggunakan khidmat warga asing dan bukan Islam untuk menjalankan tanggungjawab itu.
Tentu sahaja ada pihak yang meragui mengenai status halal makanan tersebut. Bukan hanya melibatkan kedai makan tempatan, malah perkara itu turut menjadi persoalan lebih-lebih ketika berada di luar negara.
Memetik penjelasan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengenai perkara itu di maktabahalbakri.com antaranya menyebut:
Firman ALLAH SWT dalam surah Al-Baqarah; ayat 168: ”Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”.
Ayat ini menunjukkan bahasa makanan yang hendak dimakan perlulah memenuhi dua kriteria iaitu halal dan baik.
Berdasarkan pakar ilmuan Islam, Syeikh al-Sa’di, yang mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ia ditujukan kepada seluruh manusia sama ada beriman atau kafir.
Hal ini terkait melibatkan memakan apa yang ada di atas muka bumi terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang yang sudah dihalalkan buat mereka mengambilnya (yakni untuk makan dan ambil manfaat daripadanya).
Bukan dengan cara merampasnya, mencuri, hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.
Manakala tayyiban pula membawa maksud bukan daripada perkara buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging khinzir dan selainnya.
Nabi Muhammad SAW bersabda: ”Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya dilitupi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa; Wahai TUHANKU, wahai TUHANKU, akan tetapi makanannya haram, minumannya haram dan dia juga diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin dianya dikabulkan?”. (RIwayat Muslim 1015).
Sementara itu, mengenai makanan yang dimasak atau disediakan oleh orang bukan Islam dan bukan ahli kitab, tidak menjadi kesalahan ke atas seorang Muslim untuk memakan makanan yang dimasuk atau disediakan oleh orang bukan Islam.
Hidangan jenis susu, sayur, buah dan segalanya kecuali sembelihan.
Riwayat Abd Al-Razzaq di dalam Musannafnya (10155); “Tidak mengapa dengan memakan makanan orang Majusi selain daripada sembelihannya.”
Di samping itu, al-Qurtubi juga ada menukilkan dalam tafsirnya daripada Abu Umar menyebut bahawa tidak mengapa dengan memakan makanan penyembah berhala, penganut Majusi dan sekali penganut bukan Islam, selain daripada sembelihan mereka.
Begitupun, makanan tersebut tidak berhajat kepada sembelihan mengikut syarak kecuali keju kerana ia berasal daripada renet (enzim) bangkai disebabkan oleh haiwan itu tidak disembelih mengikut syarak.
Status halal itu turut melibatkan penyediaan perkakas yang digunakan. Segala barangan perlu halal dan bersih serta tidak digunakan untuk memasak makanan yang haram.
“Justeru tidak menjadi kesalahan bagi seorang Muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh orang bukan Islam selagi bahan digunakan adalah halal dan diyakini kesuciannya manakala bukan daripada hasil sembelihan mereka.
“Sementara ketika suasana banjir dan pasca banjir di mana mangsa dan petugas operasi sangat memerlukan makanan. Maka harusnya mengambil makanan daripada orang bukan Islam terutama memasak secara vegeterian,” jelas Zulkifli. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram