Hati berbolak-balik, ketahui cara istiqomah ketika beribadah menurut Ustazah Asma Harun 


  • Mukmin
  • Jumaat, 09 Dis 2022

Mujahadah merupakan perkara utama yang diperlukan untuk terus istiqomah melakukan ke arah kebaikan.

SETIAP daripada kita pasti pernah melakukan kesilapan sama ada sengaja atau tidak. Mungkin kesilapan tersebut berlaku tanpa sedar terutama apabila sedang dikuasai emosi.

Ketika itu, setiap kata mahupun perbuatan sudah tidak terlintas di fikiran kerana mengikut perasaan marah. Disebabkan itu setiap tingkah laku perlu dihadapi dengan tenang dan sabar.

Bagaimanpun kesilapan yang sudah berlaku tidak boleh ‘dipadam’ begitu saja. Paling utama belajar daripada kesilapan dan tidak mengulangnya.

Pengalaman lalu tidak hanya mematangkan, tetapi turut menjadikan diri seseorang berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Namun, langkah pertama memang sukar untuk dilakukan. Memetik perkongsian video pendakwah, Ustazah Asma Harun, umat Islam yang mempunyai hasrat untuk berubah ke arah kebaikan perlu bersungguh-sungguh.

“Tanggungjawab kita menuntut untuk berbuat sesuatu dan ia perlu dilakukan dengan mujahadah (bersungguh-sungguh). Kemudian kita perlu istiqomah atau berterusan.

“Adanya kesungguhan, dengan itu barulah ALLAH memberi kita merasa kemanisannya dengan mujahadah,” terangnya.

Teenage girl with praying in sunny nature. Young girl meditate in the green forest with sun lights background.

Menjelas situasi itu, nyata kesungguhan amat diperlukan bagi menjayakan sesuatu perkara termasuk berubah ke arah kebaikan.

“Kalau kita buat sesuatu kerana perasaan, disebabkan mood, sebab emosi atau kerana situasi mahupun keadaan terdesak, kita akan sentiasa berbolak-balik, itu kerana kita tidak melalui proses mujahadah.

“Rasa bersungguh-sungguh dan berkorban membuatkan kita merasai nikmat kemanisan mujahadah. Setiap perasaan yang berat, penat dan lelah untuk mujahadah itu akan berbaloi,” tambah Ustazah Asma lagi.

Mengulas lanjut, katanya, kesungguhan adalah perkara sukar untuk dilakukan kerana berdepan dengan halangan dan dugaan. Ini kerana bukan mudah buat seseorang ‘tetap iman’ lebih-lebih berdepan pelbagai cabaran.

Muslim men praying in Tashahhud posture

Asma memberitahu, godaan nafsu sering membuatkan seseorang mudah patah semangat dan kembali menjalani kehidupan sama.

“Jika berniat melakukan kebaikan, benda pertama yang akan menghalang kita ialah hawa nafsu yang ada dalam hati. Kedua bila kita berniat atau berhajat untuk melakukan kebaikan, yang menghalangnya adalah syaitan.

“Seterusnya yang turut ada menghalang kita ialah manusia sekeliling kita,” jelasnya.

Disebabkan itu kesungguhan merupakan perkara penting bagi memastikan diri sentiasa berusaha ke arah kebaikan. Meskipun sukar, kuatkan hati dan cuba untuk melakukan meskipun dengan satu tindakan kecil.

“Setiap perkara lakukan dengan ikhlas dan tidak perlu mengungkit. Sabar. Keikhlasan membuatkan kita menerima segalanya dengan tenang,” tuturnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram