
GURAU senda antara teman-teman atau ahli keluarga salah satu perkara yang dapat membantu mengeratkan hubungan.
Bagaimanapun dalam ketika bergelak ketawa itu, tetap ada batasnya supaya dapat menghindari perbalahan atau salah faham.
Salah satu perkara yang sering dilakukan dengan kononnya niat bergurau ialah menyembunyikan barangan orang lain.
Melihat seseorang dalam kegelisahan atau panik kerana memikirkan barang yang hilang dianggap lucu, sedangkan perkara itu boleh dianggap sebagai satu penganiayaan.
Menurut laman Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan tersebut dilarang kerana akan menyebabkan kebimbangan kepada tuan badan.
Islam menggalakkan umatnya untuk bergurau kepada perkara yang mendatangkan kebaikan asalkan bukan perbuatan kemudaratan.
Gurauan jadi 'mencuri'
Hadis riwayat Abu Daud (5003) maksudnya;”Setiap seorang dalam kalangan kamu dilarang untuk mengambil barang kepunyaan saudra kamu secara bergurau dan secara serius (mencuri)”.
Menurut Syeikh al-Azim Abadi, hadis ini sebagai dalil tegahan daripada mengambil barang orang lain secara zahir kerana ia dikira mencuri.
Dilarang juga mengambil barangan orang lain dengan niat untuk bergurau kerana perbuatan ini tidak mendatangkan apa-apa faedah. Bahkan ia boleh menimbulkan kemarahan dan menyakiti tuan empunya barang tersebut. (Lihat: Aunul Ma’bud,8/140)
Secara ringkasnya seseorang itu dilarang mengambil barang dan harta kepunyaan ahli keluarga atau rakan-rakan dengan niat bergurau.
Perbuatan tersebut dilarang disebabkan bersamaan seperti mengambil barang atau harta kepunyaan orang lain meskipun dengan niat bergurau.
Oleh itu, berhati-hati dengan tindakan agar tidak melampaui batas sehingga mengakibatkan terputus hubungan silaturahim. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram