Tular kisah pemuda kecewa ibu bergelar pelacur, kata Mufti 'Ia bukan tiket jadi derhaka'


  • Mukmin
  • Khamis, 10 Nov 2022

Seseorang individu tidak berhak untuk menghukum orang lain tetapi perlu membimbing mereka ke jalan yang benar.

IBU merupakan individu yang sangat dipercayai oleh anak-anak dan apa sahaja yang diperlukan oleh keluarga, pasti akan cuba dipenuhi.

Jika wanita yang digelar ibu itu melakukan sesuatu yang buruk sehingga menyakiti darah dagingnya, pasti sukar untuk anak-anak memaafkannya.

Tular di Twitter satu perkongsian oleh akaun @twtmalaywedding mengenai luahan seorang anak yang marah dan kecewa selepas mengetahui ibunya terpaksa bekerja sebagai pelacur demi menyara dirinya serta adik beradik lain.

Berdasarkan bebenang dari laman Twitter itu, selepas bercerai dengan ayahnya, si ibu terpaksa melakukan tiga pekerjaan demi membesarkan anak-anaknya.

Menurut pemuda itu, ibunya merupakan seorang yang baik namun selepas mengetahui perkara sebenar, dia menjadi marah dan memilih untuk mengabaikan wanita berkenaan.

Pendedahan pemuda berkenaan mendapat pelbagai reaksi orang ramai dan rata-ratanya mengecam tindakannya itu.

Mengupas isu berkenaan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata, walau apa yang berlaku, ia bukan tiket untuk seorang anak bersikap kurang sopan.

Tambahnya, seseorang individu tidak berhak untuk menghukum orang lain tetapi perlu membimbing mereka ke jalan yang benar.

“Jika anak itu tak tahu mengenai pekerjaan ibunya, maka makanan yang dimakan itu kira boleh dapat excuse sebab tidak tahu. Tetapi perbuatan si ibu itu memang salah dari segi hukum agama.

“Sepatutnya sebagai anak nak hukum mak, itu bukan caranya. Apapun dalam Islam kena tarik seseorang itu keluar daripada lembah maksiat atau dosa. Ibu tetap ibu walau macam mana pun situasi itu.

“Kita bila-bila masa pun perlu bergaul dengan ibu bapa secara santun dan sopan. Kita tidak menghukum tapi membimbing,” katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Mufti Kelantan itu juga memberi cadangan agar individu yang mengetahui perkara itu perlu memberitahu kepada pihak berwajib.

Hal ini kerana, badan berkuasa merupakan pihak yang sesuai untuk menarik golongan seperti ibu pengadu daripada lembah maksiat dan memberinya pekerjaan baharu.

“Jika anak-anak tidak mampu, maka orang yang tahu perlu sampaikan berita itu kepada pihak berautoriti untuk tarik mereka keluar dan beri mereka pekerjaan.

“Aibnya dibuka jika anak-anaknya menyebar perkara itu. Tetapi jika anaknya bertemu badan berautoriti dan jika mereka beretika, pihak itu tidak akan menyebarnya,” katanya mengakhiri bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram