BAHANG kehangatan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU) nampaknya semakin terasa dengan pengumuman calon bagi setiap parti sudah mula dilakukan.
Penamaan calon pula akan dilakukan pada Sabtu ini yang mana, seluruh jentera parti akan turun memberi sokongan kepada calon di kawasan masing-masing.
Selepas itu, bermulalah kempen politik untuk menambat hati pengundi dan calon biasanya sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat perhatian media dan penduduk.
Dalam kemeriahan berkempen, pasti akan ada perkara pelik yang dilakukan pemimpin politik.
Berikut, Majoriti senaraikan perkara pelik yang pernah dilakukan ahli politik semasa tempoh 14 hari berkempen sebelum proses membuang undi berjalan.
Mohamad Sabu pernah membaling mikrofon ketika melakukan ucapan di hadapan pengikut politik. — Facebook
Baling mikrofon
Perkara ini dilakukan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) pada 2016 ketika berucap di depan penjara Sungai Buloh, Selangor.
Tindakan itu tidak dibuat ketika berkempen, tetapi semasa Himpunan 365 #BebasAnwar sempena setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atas kesalahan liwat.
Mungkin tindakan sama juga akan dilakukan Mohamad Sabu jika dia turun berkempen untuk PRU15 kali ini semata-mata untuk mendapatkan perhatian.
Azwan Ali pernah memberi rendang percuma sebagai caranya berkempen pada PRU14. — Facebook
Bagi rendang percuma
Siapa yang tidak suka dengan barangan percuma dan itulah perkara yang paling utama akan dilakukan ahli politik.
Demi memikat hati pengundi, kebanyakan pemimpin akan memberi bantuan barangan keperluan harian secara percuma seperti beras dan sebagainya.
Bukan sahaja makanan percuma, personaliti televisyen, Azwan Ali yang bertanding atas tiket parti bebas pernah memberi rendang percuma hasil air tangannya untuk pengundi dalam PRU14.
Ng Suee Lim giat menunjukkan kepakarannya berturut bahasa Jawa.
Bukan Melayu pandai cakap Arab
Kesempatan apa lagi yang boleh digunakan untuk menarik undi orang Melayu selain daripada menonjolkan kepakaran berbahasa Arab.
Ayat seperti InsyaALLAH, MasyaALLAH dan Alhamdulillah akan sentiasa digunakan sebagai simbolik rapatnya mereka dengan pengundi beragama Islam.
Bukan sahaja cakap Arab, ketika ini juga pemimpin politik bukan Melayu akan mula menonjolkan kehebatan mereka dalam berturut dialek rakyat tempatan.
Ahli Politik DAP, Ng Suee Lim antara yang giat mempamerkan kehebatannya berbahasa Jawa sehingga dilabel penduduk sebagai 'Wak' Ng Suee Lim.
Aksi Anwar Ibrahim ketika menari di pada 2018.
Menari
Sebahagian daripada cara yang dilakukan untuk menarik minat pengundi adalah dengan menari untuk menunjukkan betapa santainya seorang pemimpin politik.
Bukan semua, tapi kebanyakannya akan menggunakan kaedah yang sama dan paling diingati adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar pernah menari tarian ala pelakon legenda filem Tamil, MGR, pada majlis Malam Kebudayaan India di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2018.
Selain itu, dia juga pernah menari sambil menyanyi lagu Tamil ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau.
Ramai ahli politik akan mencurahkan segala bakti mereka sepanjang berkempen. — Facebook
YB jadi rakyat
Inilah perkara yang saban tahun menjadi bualan tetapi tidak terasa oleh ahli politik khususnya yang bakal bergelar Yang Berhormat (YB).
Ketika berkempen inilah, hampir semua YB di setiap Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) secara tiba-tiba menjadi begitu mesra rakyat.
Segala masalah yang ditanggung rakyat sebelum ini secara tiba-tiba berjaya diselesaikan.
Alangkah indahnya jika perkara sama dapat dilakukan YB ini pada setiap masa dan bukan ketika berkempen sahaja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram