Maulidur Rasul: 'Jangan campur aduk selawat dengan qasidah'


  • Mukmin
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Berselawat sambil berarak antara amalan yang dilakukan oleh umat Islam ketika sambutan Maulidur Rasul.

SETIAP tahun, umat Islam menyambut Maulidur Rasul sempena hari kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW.

Pada tahun ini, sambutan Maulidur Rasul jatuh pada hari Ahad iaitu 8 Oktober.

Memetik portal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), pandangan sebahagian ulama menyatakan bahawa amalan tersebut adalah baik dan akan diberi pahala serta ganjarannya, kerana bertujuan melahirkan rasa cinta dan sayang kepada Rasulullah SAW.

Selain melakukan ibadah puasa, berselawat juga antara amalan digalakkan pada sambutan Maulidur Rasul.

Namun, Prof. Madya Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, umat Islam perlu menyebut secara jelas ketika berselawat kepada Rasulullah SAW.

Mufti Terengganu itu berkata, adakalanya selawat yang diucapkan oleh sesetengah orang itu menjadi sebuah qasidah.

"Mereka bukan betul-betul selawat. Jangan campur aduk selawat dan qasidah. Orang ingat Ya Hanan sebagai selawat, sebaliknya ia hanya nyanyian bahasa Arab.

"Selawat dapat pahala,qasidah sekadar nyanyi. Sebab itu kena bezakan, jangan rasa dapat pahala tapi sebenarnya tidak.

"Walaupun bagus sebab nasyid, tapi tak sama kualiti dengan selawat. Kita rasa sampai tapi tidak," katanya kepada Majoriti.

KASIDAH-QASIDAH-1024x675

Berbeza dengan selawat, qasidah merupakan nyanyian berbahasa Arab. — Gambar hiasan/ Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia

Tambah Mohamad Sabri, sama ada umat Islam menyambut Maulidur Rasul atau tidak, mereka perlu mengikut sunnah.

Apa yang lebih penting, katanya, umat Islam perlu sentiasa berselawat kepada Baginda SAW, khususnya hari Jumaat.

"Bila kita kata kelahiran Baginda Nabi SAW, kita kena pelajari sirah Nabi. Setiap tahun kalau boleh pengetahuan kita tentang sirah Nabi makin bertambah.

"Banyak buku berkaitan sirah Nabi yang sudah diterjemahkan. Contohnya, Samail Muhamadiah, yang menceritakan sifat-sifat Nabi.

"Kita kena lebih memahami Nabi Muhammad SAW berbanding orang lain. Tapi,orang sekarang ada segelintir yang lebih tahu tentang artis beranak berbanding Nabi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram