'Jadikan apa jua perbezaan sebagai kelebihan, bukannya kelemahan'


  • Primer
  • Selasa, 19 Okt 2021

ISMAIL Sabri berkata demikian ketika perutusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul 2021M/1443H.
KESATUAN dan kesepaduan rakyat adalah tunjang kepada jatuh bangun sesebuah bangsa serta negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, apa jua perbezaan perlu dijadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan, manakala sebarang persamaan dijadikan sebagai sumber kekuatan dalam mengharungi krisis berkembar ekonomi dan kesihatan yang mencabar ketika ini.

"Rasulullah, misalnya telah mengadakan perjanjian damai dengan pelbagai suku kaum yang tinggal berhampiran Madinah di wilayah utara dan selatan untuk meningkatkan kesefahaman dan memperbaharui hubungan berlandaskan prinsip kebenaran serta menghindar kekacauan selain pertembungan kuasa.

"Jangan kerana kita berbeza pendapat, berlainan wadah atau cara pendekatan, menyebabkan hilang nilai ukhuwah dan semangat perpaduan yang sekian lama terjalin,” katanya.

Beliau berkata, sebagai Keluarga Malaysia, setiap daripada rakyat dalam negara perlu berganding bahu untuk memulihkan negara selain menyesuaikan diri dalam norma baharu.

"Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.

"Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat, pemimpin masyarakat, pemimpin agama atau pemimpin politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul 2021M/1443H yang disiarkan secara langsung di RTM1, pada Selasa.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti, adalah membawa makna kepada norma hidup yang menekankan prinsip Dasar Manhaj Rabbani iaitu rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil dan insani.

"Ia selari dengan Konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tentang tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran di samping 20 nilai lain seperti amalan ihsan, beriman, kasih sayang dan bermusyawarah.

"Ia dilakukan melalui penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul kepada insan yang banyak berbakti kepada masyarakat merentasi agama dan bangsa.

"Pengiktirafan ini secara langsung menyumbang ke arah melahirkan generasi Malaysia yang memiliki semangat perpaduan dan kebersamaan serta saling hormat-menghormati selari dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya. — Majoriti