PENGELUARAN minuman keras berjenama Timah seolah-olah sengaja ingin menyentuh sensitiviti umat Islam, kata Asma Harun.
Pendakwah bebas itu berkata, ketika umat Islam sedang menikmati keberkatan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW atau Maulidur Rasul, isu arak itu muncul mencemar kemuliaan dan nilai sucinya.
“Mengapa ia dinamakan sebagai Timah? Adakah ada niat tertentu untuk mengelirukan dan menghina umat Islam? Begitu juga gambar yang digunakan bagi membalut botol minuman haram ini.
“Nama Timah adalah sangat dekat dengan umat Islam, biasanya empunya diri yang bernama Fatimah akan dipanggil Timah, paling utama ia adalah nama anakanda kesayangan Nabi SAW, iaitu Saidatina Fatimah R.A
“Ketahuilah, sesungguhnya arak merupakan sebahagian perbuatan yang keji dan mungkar,” katanya menerusi laman Facebook.
Arak Timah menjadi kontroversi berikutan jenamanya dianggap berkaitan nama orang Melayu dan Islam, iaitu 'Fatimah' tetapi syarikat pengeluarnya mendakwa ia merujuk kepada bijih timah.
Label pada botol arak itu juga menggunakan imej lelaki berjanggut memakai penutup kepala seakan-akan kopiah, dipercayai adalah Kapten Tristram Speedy yang juga seorang Kapten Polis di Larut, Perak, pada 1870-an.
Mengulas lanjut, Asma Harun berkata, pihaknya bimbang sekiranya ada sebahagian masyarakat yang terkeliru dengan nama arak tersebut, yang seolah-olah mirip nama wanita Melayu Islam, sehingga ada yang menggangapnya boleh diminum.
“Arak ini, seindah apapun nama dan rasanya, ia jelas haram di sisi Islam. Jangan biasakan untuk menerima perkara haram yang telah dihias indah sehingga nampak menarik.
“Bagi peminum arak, kandungan alkohol yang terkandung di dalamnya telah meresap ke dalam otak dan seterusnya masuk ke urat saraf sehingga menyebabkan seseorang itu akan hilang kawalan dan pertimbangan diri,” katanya.
Beliau berkata, arak diperangi bukan hanya kerana Islam telah mengharamkannya, tetapi kerana kesan buruknya amat besar kepada masyarakat tidak kira apa jua agama dan bangsa.
“Bayangkan jika penjualan arak dibiarkan sahaja, kemudian semakin ramai yang ketagihan dan mabuk, lalu adakah kehidupan kita akan aman dan tenteram?
“Penentangan terhadap arak ialah suatu isu kemanusiaan yang kepentingannya meliputi ramai manusia. Bantahan ini harus diperjuangkan demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia yang kita cinta,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram