Mufti respons status hadis 4 golongan haji akhir zaman


  • Mukmin
  • Sabtu, 02 Jul 2022

Pada 9 Mei lalu, kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa ibadah haji diteruskan tahun ini dengan semua piawaian, peraturan kesihatan dan keselamatan diperketatkan demi kemaslahatan para jemaah. — Agensi

MUSIM haji kembali lagi dan sudah pasti setiap tahun para jemaah di seluruh dunia mengimpikan untuk mendapatkan haji yang mabrur.

Namun kebelakangan ini, terdapat kisah yang kurang enak didengari tentang jemaah haji yang menjadi tetamu rumah ALLAH SWT.

Secara zahirnya, para jemaah dilihat mahu menunaikan haji untuk beribadat.

Sebaliknya, segelintir daripada mereka juga didakwa mempunyai niat lain ketika menunaikan haji.

Baru-baru ini, tersebar sebuah hadis di media sosial yang menyatakan bahawa, terdapat empat jenis golongan yang menunaikan haji di akhir zaman.

Hadis tersebut berbunyi: “Dari Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Kelak apabila akhir zaman terdapat empat macam golongan mengerjakan ibadat haji iaitu: 1) Para pemimpin mengerjakan ibadat haji hanya untuk ‘makan angin’, 2) Terdapat orang kaya pergi haji hanya untuk berniaga, 3) Ramai fakir miskin pergi haji dengan tujuan untuk mengemis, 4) Ahli qira’at (pembaca Al-Quran) mengerjakan ibadat haji hanya untuk mencari nama dan kemegahan.”

Kesahihan hadis tersebut sehingga kini masih belum dikenal pasti.

Hasil semakan Majoriti di laman Semak Hadis, hadis tersebut tidak ditemui.

WhatsApp Image 2022-07-01 at 8.01.46 PM

Tangkap layar hadis itu yang tular di media sosial.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman berkata, beliau tidak dapat memastikan sama ada hadis tersebut palsu atau sahih.

Hal Ini kerana, katanya, terdapat proses khusus untuk mengesahkan sama ada hadis itu sahih ataupun sebaliknya.

Tambahnya, rujukan sangat diperlukan bagi mendukung status hadis tersebut.

Ketika ditanya sama ada salah satu situasi hadis tersebut wujud di Malaysia, beliau tidak menolak kemungkinan ia sememangnya terjadi di negara ini.

“Kita tidak boleh nak kata keseluruhannya begitu tapi mungkin sebahagian kecil ada masyarakat buat begitu.

“Kalau kita tengok orang pergi haji, masa tu kita boleh lihat siapa yang pergi untuk berhibur. Bagaimanapun di Malaysia ini, orang Islam tidak sampai ke tahap pergi haji hanya untuk berhibur.

“Mungkin negara yang mewah ada buat sebegitu,” katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika seseorang menunaikan ibadat haji namun mempunyai lain seperti berniaga, perkara itu adalah dibenarkan selagi tidak menyekutukan ibadah.

Jawapan itu merujuk kepada sebuah klip video berdurasi 43 saat di Tik Tok yang tular di media sosial, memaparkan seorang wanita mempromosi produknya di depan Kaabah.

WhatsApp Image 2022-07-01 at 8.01.33 PM

Tangkap layar video rakaman jemaah itu mempromosikan barang di hadapan Kaabah.

“Bagi saya tiada masalah orang nak pergi haji sambil promosikan barang. Kerana pergi haji ini banyak manfaat.

“Dalam al-Quran pun ada sebut siapa yang pergi haji banyak manfaat. Tetapi janganlah lari daripada niat asal mereka. Ingat niat pertama memang nak beribadah.

“Nak dapat haji yang mabrur kena niat semata-mata untuk ALLAH dan apabila seseorang itu balik daripada haji ia seperti baru dilahirkan. Seumpamanya bersih daripada dosa,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram