HEBOH di media sosial apabila warganet mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah susulan hukuman penjara ke atas bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, iaitu Emilia Hanafi.
Wanita itu dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara tujuh hari bermula Isnin kerana gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.
Kata-kata seperti “mahkamah zalim, bapa zalim” dilemparkan di media sosial dan lebih parah lagi ada yang menyatakan Islam adalah agama yang zalim.
Tampil mengulas itu, peguam syarie Khairul Fahmi Ramli menegaskan bahawa Islam tidak pernah zalim dengan hamba-hambanya.
“Islam diturunkan untuk membela hak lelaki dan wanita. Penjara bukan untuk lelaki sahaja. Hukuman dalam Islam juga bukan untuk lelaki semata-mata.
“Berlapang dada. Fahamkan dahulu asas sesuatu kes, kemudian baru menilai. Hormatilah undang-undang, apatah lagi perjanjian yang kita lakukan sendiri,” katanya.
Menurutnya dalam kes itu, si ibu sengaja mengubah lokasi ke Kajang iaitu satu tempat yang bertentangan dengan perintah yang mereka persetujui.
Malah, tindakan ibu berkenaan juga pernah dilakukan sebelum ini yang mana seorang bapa tidak dibenarkan berjumpa anaknya.
Emilia hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Isnin, untuk menyerah diri berhubung kes mengubah tarikh lawatan tiga anaknya tanpa persetujuan bekas suaminya.
“Ini bukan kali pertama. Lebih daripada 80 kali perkara tersebut berlaku seorang bapa dinafikan haknya untuk berjumpa dengan anak-anak.
“Mahkamah tidak zalim. Mahkamah beri peluang kepada si ibu untuk bela diri kenapa berbuat demikian apabila mengeluarkan satu Notis Tunjuk Sebab pada 17 Januari 2019. Lebih daripada 20 peguam syarie bertukar ganti untuk bela si ibu.
“Melalui perbicaraan dan keputusan Yang Arif Hakim, si ibu telah gagal membuktikan alasan yang munasabah dan ada pengakuan sendiri si ibu yang dia ingkar perintah tersebut dengan alasan yang tidak munasabah,” katanya menerusi penjelasan di laman Facebook.
Jelasnya, Mahkamah Syariah paling kurang memberi hukuman penjara meskipun melibatkan kes-kes jenayah syariah yang sudah termaktub dengan hukuman penjara.
“Apatah lagi nak hukum penjara ke atas wanita yang bergelar ibu dan isu yang berkaitan dengan Perintah Hak Jagaan Anak.
“Permulaan kepada kes Komital (Hukuman Penjara) perlu bermula dengan satu Permohonan di Mahkamah Syariah. Ia mesti dibuktikan sekeras-kerasnya apakah pelanggaran yang berlaku,” katanya.
Jelasnya, jika salah satu pihak melanggar perintah, ia boleh dianggap sebagai satu kesalahan dan pihak yang dianiaya tersebut berhak untuk memohon supaya perintah tersebut dikuatkuasakan.
“Jika bekas isteri atau suami rasa terbeban dengan perintah tersebut, mereka sepatutnya boleh membuat tuntutan Ubah Perintah di mahkamah sama perintah tersebut dikeluarkan.
“Saya selalu berpesan, seorang bapa, jika jahat atau teruk macam mana sekalipun, selagi dia adalah bapa kandung, selagi itu dia berhak untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
“Begitu juga dengan si ibu, teruk macam mana sekalipun, bab jagaan anak, ibu tetap ada hak untuk berjumpa dengan anak-anaknya,” jelasnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram