NAHAS dua tahun lalu yang menimpa tujuh beranak sehingga meragut tiga nyawa masih terbayang diingatan empat beradik yang kini menjadi anak yatim piatu.
Malah sambutan Syawal yang kebiasannya meriah tetapi suram pada tahun ini kerana masih mengingat tragedi hitam yang menimpa mereka ketika melalui Jalan Kimanis-Keningau, Papar, Sabah.
Menurut Nursazzey Shazmeka Mazlan, 16, sehingga kini dia tidak dapat melupakan apa yang berlaku pada malam kejadian sehingga menyebabkan sudah dua tahun mereka tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama-sama ibu bapa serta adiknya.
"Selalunya pada waktu ini (menjelang Hari Raya) kami bertungkus lumus menyediakan pelbagai persiapan untuk menyambut Hari Raya bersama-sama.
"Ayah akan sibuk menghias rumah mengikut kemahuan ibu dan pada masa sama, saya dan adik-adik akan membantu mengemas serta membersihkan rumah sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat, Putatan, baru-baru ini.
Nursazzey Shazmeka berkata, sejak ibu bapanya meninggal dunia, semua keperluan ketiga-tiga adiknya diuruskan olehnya sendiri.
"Kalau dulu saya dan ibu akan bersama-sama membeli pakaian untuk adik-adik atau membeli barangan untuk keperluan rumah.
"Tetapi sekarang, semua saya lakukan sendiri, kena berdikari untuk uruskan adik yang masih kecil," katanya.
Sementara itu, Muhammad Irfan Ihtisyam, 11, mengakui masih teringat kedua ibu bapa dan kakaknya yang sudah meninggalkan mereka selamanya.
"Tetapi saya harus kuat memandangkan saya seorang saja anak lelaki untuk membantu kakak untuk menguruskan adik-adik yang lain," katanya.
Nursazzey Shazmeka (tengah), bersama adik-adiknya Muhammad Irfan Ihtisyam (kiri) dan Nurmya Shaznira (kanan) ketika ditemui pemberita di kediaman mereka di PPR Taman Sri Keramat, Putatan. — Sinar Harian
Menurut nenek mereka pula, Naisah Miss, 61, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga keempat-empat cucu sejak anak perempuannya meninggal dunia dalam nahas itu.
"Saya sedih kerana mereka kehilangan kedua ibu bapa ketika masih kecil, jadi saya dan suami ambil tanggungjawab untuk menjaga mereka.
"Syukur Alhamdulillah rezeki mereka sebagai anak yatim piatu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak untuk membantu termasuk dari segi kewangan untuk persekolahan dan sebagainya," katanya.
Naisah berkata, tiada kesukaran untuk menjaga kesemua cucu-cucunya itu kerana yang sulung pun sudah besar dan boleh mengurus adik-adiknya.
Dalam kejadian 31 Mac 2021, lori tunda yang dinaiki tujuh beranak itu terbabas dan menyebabkan Mazlan Abdullah, 38, isterinya Norafidah Sukeymin, 37, bersama anak kedua mereka, Nursazilla Shazmira, 12, meninggal dunia.
Bagaimanapun, Nursazzey Shazmeka, Muhammad Irfan Ihtisyam, Nurmya Shaznira, 8 dan adik bongsu mereka, Nurnafisya Shazniza, 5, terselamat dalam kejadian itu. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram