SYAWAL masih belum melabuhkan tirainya, tapi rakyat di beberapa kampung di Janda Baik, Bentong, Pahang sudah terpaksa menghabiskan perayaan Aidilfitri lebih awal apabila dikejutkan dengan kejadian banjir kilat pada awal pagi Rabu.
Kejadian banjir difahamkan bermula pada pukul 5:30 pagi susulan hujan lebat selama dua jam yang melanda beberapa kawasan di Janda baik dan dilaporkan hampir keseluruhan kawasan perkampungan serta lokasi peranginan terjejas.
Antara kampung di kawasan tanah tinggi yang dilanda banjir ialah Kampung Janda Baik, Kampung Cheringin, Kampung Sum Sum dan Kampung Chemperuh.
Kejadian banjir ini mengecewakan penduduk khususnya Kampung Chemperuh ekoran kejadian banjir lumpur itu merupakan kali kedua melanda kampung itu pada tahun ini selepas kejadian awal tahun lalu yang mana dikatakan ia lebih teruk berbanding sebelumnya.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, melaporkan sebanyak 42 keluarga terpaksa berpindah ke lokasi selamat selepas beberapa perkampungan di Janda Baik dilanda banjir kilat.
Sehubungan dengan itu, rata-rata warganet mendoakan agar penduduk kawasan itu diberikan ketabahan menghadapi ujian berkenaan dan tidak kurang juga ada pengguna media sosial yang mempersoalkan peranan kerajaan terhadap insiden tersebut.
Pengguna media sosial, Awani bin Pahang mengutarakan rasa peliknya terhadap kejadian banjir itu kerana menurutnya Janda Baik merupakan kawasan tanah tinggi yang mana kebarangkalian untuk hadapi bencana alam itu amat tipis.
"Janda Baik dilanda banjir kilat setelah dua jam hujan lebat. Padahal situ kawasan tanah tinggi tapi tetap kena banjir kilat.
"Dilaporkan 140 buah rumah terkesan dan 42 keluarga berpindah. Nasib baik tak ada kemalangan jiwa berlaku. Tapi banyaklah chalet yang rosak, moto ATV yang hanyut. Benda sama berlaku pada tahun lepas hingga Janda Baik ditutup sementera kepada penunjung selama empat bulan," katanya.
Menurutnya, pihak kerajaan perlu membuat kajian yang telus mengenai insiden itu bagi mengelak daripada rakyat terus mendakwa bahawa perkara itu ada hubung kait dengan pembalakan haram yang dijalankan di kawasan berkenaan.
Malah, dia turut memberitahu bahawa amat rugi jika kerajaan tidak mencari punca mengapa Janda Baik kerap dilanda banjir seperti itu kerana insiden tersebut boleh menjejaskan pendapatan khususnya dari sektor pelancongan.
"Kerajaan mesti buat satu kajian yang lebih akademik dan telus kerana sebahagian besar masyarakat tuduh banjir ini berlaku disebabkan pembalakan samada haram atau halal. Kajian mesti dilakukan untuk mencari punca dan cara atasinya.
"Kata Janda Baik ni jana pendapatan besar. Tahun lepas tutup empat bulan sahaja dah hilang pendapatan RM12 juta. Kerajaan patut buat kajian yang lebih teliti mencari solusi elak berlaku lagi kejadian banjir begini," katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 33 buah daripada 54 tempat peranginan atau resort dan chalet di Janda Baik musnah teruk akibat banjir tahun lalu dengan kerosakan dianggarkan di antara RM157,500 hingga RM6 juta bagi setiap tempat peranginan atau chalet. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram