Aktiviti setiap kali Aidilfitri, boleh ke tabur bunga atas pusara?


  • Mukmin
  • Selasa, 03 Mei 2022

Hiasan atas kubur boleh digantikan dengan bersedekah surah al-Fatihah dan doa. — Gambar hiasan

AMALAN menziarahi kubur adalah antara perkara yang boleh dikatakan satu kemestian buat setiap keluarga yang kehilangan ahlinya.

Tambahan pula, perkara itu kerap dilakukan oleh setiap keluarga apabila tiba perayaan Aidilfitri.

Antara perkara dilakukan ketika menziarahi pusara termasuk membaca doa, membaca surah Yassin, menyiram air malah ada yang berkesempatan untuk menaburkan kelopak bunga di atas pusara.

Namun, ada yang masih belum tahu hukum menaburkan bunga di atas pusara, yang mana amalan itu semestinya akan 'mencantikkan' lagi kubur seseorang.

Prof Madya Dr. Mohamad Sabri Haron berkata, tiada keperluan untuk menjadikan bunga sebagai hiasan di atas pusara.

Mufti Terengganu itu berkata, setiap individu perlu memahami tujuan dan sebab mereka menaburkan bunga pada kubur.

Katanya, sekiranya perkara itu hanya dengan beralasan 'saja-saja', maka perkara itu akan menjadi satu pembaziran kerana tiada asas dalam Islam.

"Sebaliknya, kita boleh buat hiasan (pada kubur) dengan memberi sedekah surah al-Fatihah dan doa.

"Dan, kalau nak menghormati, lebih baik kita beribadat dan berdoa (buat penghuni kubur)," katanya kepada Majoriti.

Memetik laman Remaja, Ustaz Azhar Idrus berkata, hukum letak bunga di kubur bergantung kepada niat dan tujuan.

Pendakwah bebas itu berkata, jika bertujuan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW yang meletak pelepah kurma yang masih hidup yang bertasbih kepada ALLAH SWT dan meringankan keadaan arwah di alam barzakh maka adalah elok.

"Kerana setiap yang hidup seperti tumbuhan bertasbih sentiasa kepada ALLAH.

"Dengan sebab tasbih yang hidup kepada Allah dekat kubur maka diharapkan ringan orang yang ada di dalam kubur.

"Jika bertujuan mengikut budaya orang bukan Islam meletak bunga maka ia adalah dilarang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tabur bunga, kubur, doa, ahli keluarga, pusara