UMUM mengetahui salah seorang peguam kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, Hafidzah Hassan mencipta kontroversi tersendiri hingga dia dikecam hebat netizen di media sosial.
Semua bermula apabila dia dan sembilan peguambela bagi kes penderaan kanak-kanak Sindrom Down, Bella itu bergambar mesra bersama Siti Bainun di hadapan mahkamah baru-baru ini.
Hafidzah turut dikritik kerana tampil membuat ulasan peribadi berkaitan berhubung kes yang diwakilinya itu dengan menyatakan bahawa masih terlalu awal untuk masyarakat membuat sebarang andaian dan spekulasi terhadap anak guamnya memandangkan tidak semua rakyat Malaysia menyaksikan sendiri proses perbicaraan yang berlangsung di mahkamah.
Sejak itu, ada sahaja pihak yang membuat kenyataan balas terhadap Hafidzah termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.
Disebabkan itu, tular semula beberapa video membabitkan Hafidzah termasuk ketika sesi soal jawab bersama pendakwah bebas, PU Azman dipercayai pada 2020 yang dimuat naik menerusi akaun TikTok @denaitv.
Sambil mengupas soal sekiranya duit hasil saman adalah haram, PU Azman turut menyelit berkenaan profesion sebagai peguam yang sering dikatakan membawa ke neraka.
Menerusi perbincangan tersebut, PU Azman memberi contoh situasi apabila peguam mengambil kes dengan berpihak kepada penjenayah atas sejumlah bayaran tertentu.
Tangkap layar video lama soal jawab antara PU Azman dan Hafidzah. — TikTok
PU Azman berkata, ‘neraka’ yang dimaksudkan adalah apabila peguam berjaya memenangi kes walaupun anak guamnya jelas melakukan kesalahan.
"Orang yang hire peguam tu anak guam kan, kalau orang tu buat jenayah, dia bayar kat seorang peguam. Tolong...aku bayar kau RM2 juta tapi kau kena selamatkan aku, memang aku yang buat benda tu (jenayah).
"Peguam tu ambil sebab semata-mata nak dapat RM2 juta dan dia menang hujah. Dia peguam yang hujahnya kuat, petah berkata-kata dan terkenal selalu menang (kes), orang yang salah pun jadi betul, yang ini masalah, yang ini yang disebutkan neraka.
"Tapi kalau peguam tu seorang yang adil, dia memilih kes, tiada masalah," katanya.
PU Azman terus memberi contoh ketika nabi menjadi hakim untuk memutuskan hukum bagi seseorang yang diwakili individu yang gagap dan petah bercakap.
"Ada dua orang bergaduh, kemudian nabi nak putuskan hukum, ada seorang tu petah becakap, ada seorang lagi tu mungkin gagap.
"Nabi kata kena hati-hati barangkali aku memenangkan orang yang petah bercakap. Selalunya orang yang petah bercakap ni, macam betul saja kan, orang yang tergagap-gagap nampak macam salah, padahal mungkin dia tak reti bercakap.
"Jadi nabi bagi amaran...hati-hati (jatuh hukuman) bimbang kalau aku salah berikan keputusan bermakna aku telah berikan sepotong api neraka kepada yang menang.
"Walaupun kau menang, hakim menangkan kau, sedangkan kau salah, tetapi kemenangan kau umpama potongan api neraka di akhirat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram