TATKALA orang ramai teruja untuk menyambut Aidilfitri, lain pula kisahnya apabila seorang adik bertindak membunuh abangnya dalam kejadian di Desa Krengseng, Kecamatan Gringsing dekat Kabupaten Batang, Jawa Tengah, Indonesia.
Difahamkan, kejadian berdarah pada malam raya itu berlaku berpunca daripada salah faham, yang berkait rapat dengan masalah motosikal.
Ketua Kampung, Fitri Julianto menjelaskan bahawa, mangsa yang dikenali sebagai SH telah menjual motosikal milik suspek sebanyak tiga kali.
Menurutnya, suspek telah membeli semua motosikalnya hasil titik peluhnya sendiri.
"Ya, (suspek) bekerja di Jakarta dan baru sehari pulang. Apabila dia bertanyakan lokasi motosikalnya, dia mendapat jawapan bahawa abangnya telah menjual motosikal itu," kata Fitri.
Mendengar jawapan tersebut, suspek serta-merta menjadi berang dan segera berjumpa abangnya sebelum menikam mangsa dengan pisau.
"Penduduk yang mendengar kekecohan itu segera membawa mangsa ke Pusat Kesihatan Gringsing I dan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke pusat kesihatan tersebut," jelasnya.
Ketika diminta pengesahan, seorang anggota penguatkuasa, Gunawan mengakui bahawa pihaknya menerima laporan daripada penduduk.
Ya, betul, ada satu kejadian. Mangsa dibunuh oleh adiknya.
"Ini berpunca daripada suspek berang apabila motosikalnya dijual semula. Ini kali ketiga mangsa menjual motosikal milik suspek," katanya.
Jelasnya, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bermain permainan video di dalam biliknya, yang mana suspek segera menikam mangsa dari arah belakang.
"Mangsa kemudian sempat menendang suspek, namun suspek menikam mangsa sekali lagi di bahu kanan," kata Gunawan.
Ibu mereka yang menyaksikan kejadian itu cuba untuk meleraikan mereka serta menjerit meminta pertolongan penduduk.
Penduduk yang mendengar kekecohan itu segera ke rumah kejadian.
Selepas kejadian itu, suspek segera menyerah diri dan ditahan oleh pihak polis.
Pada masa sama, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polres Batang, Asisten Komisioner Yorisa Prabowo masih belum membuat kenyataan rasmi berhubung kejadian itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram