Hukum solat sunat Aidilfitri, tapi tak baca khutbah


  • Mukmin
  • Isnin, 02 Mei 2022

Solat sunat Aidilfitri tetap boleh dikerjakan di kediaman masing-masing. — Facebook

MENERUSI kelonggaran yang diberikan kerajaan susulan peralihan ke fasa endemik menyaksikan solat sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan tanpa jarak fizikal antara jemaah di masjid dan surau di negara ini.

Begitupun atas nasihat Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Fatwa Negeri, solat sunat Aidilfitri tetap boleh diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan perumahan selain dibenarkan untuk dikerjakan di kediaman masing-masing.

Timbul persoalan mengenai hukum mengerjakan solat Aidilfitri di rumah, tanpa khutbah sama ada ia sah atau tidak.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, hukum meninggalkan khutbah selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah adalah makruh.

Bagaimanapun jika khutbah tidak dibaca, solat tersebut masih lagi sah.

Lazimnya, khutbah raya akan dibacakan oleh khatib selepas solat.

Dalam keadaan semasa, solat sunat hari raya boleh dilaksanakan tanpa atau dengan khutbah mengikut kemampuan dan kesesuaian.

Apakah rukun-rukun bacaan khutbah bagi khutbah hari raya?

Menurut mazhab Syafie, rukun-rukun khutbah hari raya sama sepertimana khutbah Jumaat.

1. Memuji Allah (yakni mengucapkan Alhamdulillah) dengan sebarang bentuk pujian.

2. Berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad dengan sebarang bentuk selawat.

3. Memberi pesanan dengan takwa.

4. Membaca sepotong ayat dari al-Quran pada salah satu dari dua khutbah.

5. Membaca doa untuk sekelian kaum muslimin dalam khutbah kedua.

Disunatkan imam memulakan khutbah pertama dengan bertakbir (yakni melaungkan ALLAHUAKBAR) sebanyak sembilan kali berturut-turut dan memulakan khutbah kedua dengan bertakbir tujuh kali.

Dari ‘Ubaidillah bin ‘Abdillah bin ‘Utbah r.a. yang menceritakan:

"Menjadi sunah memulakan khutbah pertama dengan sembilan kali takbir yang berturut-turut dan memulakan khutbah kedua dengan tujuh kali takbir yang berturut-turut” (Riwayat Imam al-Baihaqi).

Khutbah di rumah tidak memerlukan mimbar dan tongkat, memadai kerusi atau tempat duduk bagi imam duduk sebentar antara dua khutbah.

Bagi mendapatkan teks khutbah ringkas untuk solat sunat Aidilfitri tahun 2022, boleh layari laman web Jakim di https://www.islam.gov.my/ms/e-khutbah.

Khutbah yang disediakan adalah mudah, ringkas selain mengandungi terjemahan rumi untuk membantu mereka yang kurang mahir dengan tulisan jawi atau Arab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram