SEORANG penyampai radio Tawau FM mengakui dia tidak sengaja melakukan kesilapan teknikal, apabila telah menyiarkan azan Maghrib sebanyak dua kali iaitu sekitar pukul 6.16 petang dan 6.20 petang.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Mohd Safwan Junit berkata, azan yang sepatutnya disiarkan pada pukul 6.20 petang telah dikumandangkan lebih awal dari waktunya.
Tindakannya sekali gus menyebabkan ramai warga Tawau, Sabah secara tidak sengaja berbuka puasa lebih awal daripada waktu sebenar.
"Hal ini disebabkan oleh kesilapan teknikal dan kesilapan diri saya sendiri," katanya yang lebih mesra dikenali sebagai Wan J.
TANGKAP layar permohonan maaf Wan J di laman Facebook. — Facebook
Lantaran itu, Mohd Safwan dengan rendah diri dan secara peribadi memohon maaf kepada warga Tawau yang terkesan dengan perkara tersebut.
"Kesilapan ini adalah dari diri saya sendiri dan bukan RTM (Radio Televisyen Malaysia) Tawau atau Tawau FM.
"Yang baik datangnya dari ALLAH, dan yang kurang itu datangnya dari diri saya sendiri. Mohon share (kongsi) permohonan maaf ini," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram