Azan Maghrib awal di Tawau, ini penjelasan status puasa


  • Primer
  • Isnin, 04 Apr 2022

RADIO Tawau FM tidak sengaja menyiarkan azan Maghrib pada hari pertama umat Islam menyambut bulan Ramadan. — Gambar hiasan

TIDAK sah dan batal puasa individu yang menyangka telah tenggelam matahari tetapi ia belum lagi tenggelam.

Demikian penerangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri terhadap situasi tersalah buka puasa kerana azan di radio.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel Bayan Linnas siri ke-97 berkata, puasa itu wajib diqada semula menurut jumhur ulama.

"Kami tegaskan di sini bahawa dalam era moden ini, boleh dikatakan tidak ada yang tidak mempunyai jam, takwim, mahupun aplikasi dalam telefon pintar yang menyatakan waktu berbuka.

"Maka sewajarnya kita lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin.

Menurutnya, Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani pernah berkata, "Dan para ulama sepakat bahawa waktu berbuka adalah apabila telah dipastikan matahari terbenam, baik dengan cara melihatnya mahupun dengan khabar daripada dua orang yang adil."

WhatsApp Image 2022-04-04 at 9.59.12 AM

Justeru, kata Zulkifli, pihaknya berpendapat bahawa usaha pihak radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka puasa adalah amat baik.

"Tetapi, perlulah bagi pihak penyiaran radio atau TV lebih teliti dan cermat pada masa akan datang supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku," katanya.

Majoriti pada Ahad melaporkan, penyampai radio Tawau FM mengakui dia tidak sengaja melakukan kesilapan teknikal, apabila telah menyiarkan azan Maghrib sebanyak dua kali iaitu sekitar pukul 6.16 petang dan 6.20 petang.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Mohd Safwan Junit berkata, azan yang sepatutnya disiarkan pada pukul 6.20 petang telah dikumandangkan lebih awal dari waktunya.

Tindakannya sekali gus menyebabkan ramai warga Tawau, Sabah secara tidak sengaja berbuka puasa lebih awal daripada waktu sebenar.

"Hal ini disebabkan oleh kesilapan teknikal dan kesilapan diri saya sendiri," katanya yang lebih mesra dikenali sebagai Wan J.

Mohd Safwan dengan rendah diri dan secara peribadi memohon maaf kepada warga Tawau yang terkesan dengan perkara tersebut.

"Kesilapan ini adalah dari diri saya sendiri dan bukan RTM (Radio Televisyen Malaysia) Tawau atau Tawau FM.

"Yang baik datangnya dari ALLAH, dan yang kurang itu datangnya dari diri saya sendiri. Mohon share (kongsi) permohonan maaf ini," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram