Uncle Kentang mahu bantu belikan komputer, cari pelajar B40 diherdik pensyarah


  • Massa
  • Rabu, 30 Mac 2022

UNCLE Kentang memahami niat pensyarah berkenaan untuk memastikan pelajar berjaya. — Facebook

AKTIVIS masyarakat, Kuan Chee Heng atau popular dengan panggilan Uncle Kentang kini sedang mencari pelajar yang dikatakan dimarahi oleh seorang pensyarah gara-gara tidak mempunyai komputer riba dalam video yang tular di laman sosial.

Jelas Uncle Kentang menerusi posting terbaharu di laman Facebooknya, beliau akan membuat tabung pendanaan awam (crowdfunding) untuk membeli komputer buat pelajar berkenaan.

"Kepada pelajar yang kena marah dengan profesor semester lima kerana masih tidak ada komputer. Kalau andalah orang berkenaan dan perlu komputer, kita crowdfunding untuk kamu.

"Prof marah pasal gelang emas kakak, mungkin Prof pernah nampak gelang emas kakak pakai, jangan-jangan emas tiruan sudah lah," jelasnya secara sinis mengulas mengenai tindakan pensyarah berkenaan.

Tambah Uncle Kentang, beliau memahami niat pensyarah berkenaan untuk memastikan pelajar berjaya, namun seharusnya jalan penyelesaian masalah dicari bagi membantu pelajar berkenaan.

"Sabar Prof, I tahu you nak student you baik. Sabar student, semua ujian Allah. Jangan kita viral dan burukkan Prof. Kita cari penyelesaian.

"Prof mungkin garang, tapi dia nak student yang sukses. Kalau anda kenal student tersebut, sila contact saya di talian 018-2683999.

"Kita cari penyelesaian, hidup ini sementara. Nak aibkan orang tidak perlu, kita bantu agar kubur kita indah selalu," katanya lagi.

Terdahulu, tular di laman sosial klip video seorang pensyarah dari sebuah universiti awam dikatakan memarahi seorang pelajar semester lima gara-gara tidak mempunyai komputer untuk pengajian secara dalam talian.

Video terbabit mendapat kecaman netizen yang tidak bersetuju dengan tindakan pensyarah terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram