BERDASARKAN hadis sahih, terdapat beberapa amalan yang berupaya menjauhkan umat Islam daripada dibakar api neraka yang dahsyat, kata Dr Ahmad Sanusi Azmi.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu menerusi perkongsian di laman Telegram berkata, amalan tersebut termasuk mengucap dua kalimah syahadah dengan penuh ikhlas dan ia perlu dijadikan zikir harian seseorang Muslim.
Sabda Rasulullah SAW: "Tidak ada seorang lelaki yang mengucap Lailaha illah wa anna muhammad Rasulullah dengan penuh ikhlas dan membenarkan dalam hatinya melainkan ALLAH SWT akan mengharamkan ke atas dirinya neraka," — Hadis Riwayat al-Bukhari
Berikut adalah amalan-amalan lain yang boleh dilakukan umat Islam bagi mengelakkan diri daripada api neraka:
a) Berakhlak mulia
Tuan-Puan yang dirahmati Allah, perbaikilah akhlak kita serta janganlah kita menyakiti yang lain. Kerana akhlak berupaya menjadi pendinding buat diri kita dari dibakar oleh neraka ALLAH.
Sabda Rasulullah: "Hendakkah kamu aku beritahu perkara yang menyebabkan dirimu diharamkan dari dibakar oleh neraka? Iaitu setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” — Hadis Riwayat al-Tirmizi
b) Melibatkan diri dalam perjuangan di jalan ALLAH SWT.
Mereka yang berjuang sehingga berdebu kakinya kerana mendaulatkan agama ALLAH, maka ALLAH akan mengharamkan dirinya dari dibakar neraka ALLAH.
"Barangsiapa yang berdebu kakinya dalam jalan Allah, maka Allah mengharamkan dirinya dari neraka.” — Hadis Riwayat al-Bukhari
c) Sujud pada ALLAH SWT dengan penuh penghayatan dan keinsafan.
Tunaikanlah solat sebaik mungkin kerana ALLAH akan mengharamkan neraka dari membakar diri kita kesan dari solat yang sempurna.
MUSLIM yang solat dengan sempurna akan diharamkan daripada api neraka. — Getty Image
Sabda Rasulullah SAW: "ALLAH mengharamkan neraka dari membakar kesan sujud (atau solat yang sempurna)," — Muttafaq Alaih
d) Solat Sunat empat rakaat sebelum dan sesudah Zohor
ALLAH SWT akan menjaga seseorang daripada neraka sekiranya melakukan amalan solat sunat 4 rakaat sebelum dan selepas Zohor. — Gambar hiasan
Barangsiapa yang menjaga solat sunat 4 rakaat sebelum zohor dan sesudahnya, maka ALLAH SWT akan menjaga dirinya daripada neraka.
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang menjaga (solat sunat) 4 rakaat sebelum zohor dan 4 rakaat selepasnya maka ALLAH akan mengharamkan dirinya dari neraka," — Hadis Riwayat al-Tirmizi
e) Mengesakan Allah sebelum saat kematian.
Barangsiapa yang berupaya mengucapkan syahadah sebelum kematiannya, maka ALLAH akan menjauhkannya dari neraka.
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang dikurniakan rezeki (untuk mengucapkan syahadah sebelum kematianya) maka jasadnya tidak akan disentuh api neraka," — Hadis Riwayat Ibn Majah
f) Menangis kerana takutkan ALLAH atau berjaga malam dijalan ALLAH.
Ingatkah kita bahawa Rasulullah SAW pernah menyebutkan dua mata yang menangis kerana takutkan ALLAH dan mata yang berjaga malam kerana ALLAH, maka mata ini tidak akan dibakar oleh neraka.
Sabda Rasulullah SAW: "Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga kerana menjaga perjuangan dijalan Allah," — Hadis Riwayat al-Tirmizi
g) Tidak melihat perkara haram.
MATA yang tidak melihat perkara haram akan diselamatkan daripada neraka. — Gambar hiasan
Dalam riwayat al-Tabrani pula, ada lafaz yang menyebutkan bahawa mata yang tidak melihat perkara yang diharamkan akan diselamatkan daripada neraka ALLAH SWT:
"Tiga mata yang tidak akan melihat neraka ALLAH SWT: Mata yang berjaga dalam perjuangan di jalan Allah, mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang menunduk tidak melihat perkara yang diharamkan oleh ALLAH,” — Hadis Riwayat al-Tabrani
h) Bersabar atas kematian anak.
ALLAH SWT akan mengharamkan neraka buat merkea yang bersabar atas kematian anak. — Gambar hiasan
Ini adalah salah satu amalan yang dikurniakan bagi orang-orang yang terpilih sahaja, iaitu mereka yang bersabar atas kematian anak, maka ALLAH mengharamkan buat dirinya neraka.
Sabda Rasulullah SAW seperti dinyatakan dalam Hadis Riwayat Muslim : "Seorang Muslim yang meninggal dunia tiga orang anaknya, maka disentuh oleh api neraka, maka tidak ada baginya kecuali sambil lalu saja." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram