RASULULLAH SAW memuji kaum al-Asy’ariyyin yang mempunyai sikap sangat istimewa, iaitu suka membantu kaumnya sendiri.
Bahkan, Rasulullah SAW turut memuji kaum al-Asy’ariyyin yang mencintai Islam dan banyak berkorban untuk Islam.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kaum al-Asyariyin apabila kekurangan makanan keluarga mereka (di medan perang atau di Madinah), mereka akan himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan sesama mereka dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka,” — Hadis Riwayat al-Bukhari
Lebih menarik, ALLAH SWT turut memuji Abu Musa al-Asy’ari dan kaumnya dari al-Asy’ariyin yang menangis kerana tidak dapat turut serta menyertai medan jihad akibat kekurangan harta.
Firman ALLAH SWT: “Dan tidak berdosa bagi mereka yang ketika datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku apa yang boleh kuberikan untuk membawa kamu (untuk berjihad)", mereka pulang dalam keadaan bercucuran air mata, mereka menangis sedih kerana tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan ALLAH),” — Surah at-Tawbah: 92
Mengulas mengenai perkara itu, Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi Telegram berkata, tiada salahnya untuk umat Islam membantu sesama Muslim.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim itu berkata, mengutamakan produk mereka adalah salah satu jalan membantu membangunkan ekonomi Muslim dan Islam.
“Amat menyedihkan apabila ada di kalangan kita yang gagal memahami perjuangan murni ini dengan menyifatkannya dengan pandangan yang negatif.
“Mereka melemparkan pandangan buruk dengan memfitnah usaha ini berniat jahat atau satu boikot.
“Semoga Allah menyatukan hati kaum Muslim. Ayuh teruskan kempen mengutamakan produk Muslim,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram