Malas bangun tidur angkara 'ikatan syaitan'


  • Mukmin
  • Rabu, 23 Feb 2022

'IKATAN syaitan' itu jika tidak dilepas akan mengganggu jiwa dan membuat seorang Muslim itu menjadi malas melakukan urusan ibadah serta membuat aktiviti. — Gambar hiasan

BERMULA dari bangun tidur hingga ke saat melelapkan mata semula, Rasulullah SAW sentiasa ada amalan-amalan yang diajarkan agar kehidupan seorang Muslim itu terpelihara.

Namun, jika seseorang itu tidur dalam keadaan tidak bersuci, bahkan tidur dalam keadaan lalai tanpa membaca doa, maka syaitan akan membuat tiga ikatan pada tengkuk orang yang tidur dan menghasut supaya mereka tidur lebih lama.

Ikatan syaitan itu jika tidak dilepas akan mengganggu jiwa dan membuat seorang Muslim itu menjadi malas melakukan urusan ibadah serta membuat aktiviti.

Hal ini sebagaimana dalam sebuah riwayat, Rasulullah SAW bersabda: “Ketika kalian tidur, syaitan membuat tiga ikatan di tengkuk kalian. Di setiap ikatan syaitan akan mengatakan, “Malam masih panjang, tidurlah!” Jika ia bangun lalu berzikir pada ALLAH, lepaslah satu ikatan. Kemudian jika ia berwuduk, lepas lagi satu ikatan berikutnya. Kemudian jika ia mengerjakan solat, lepaslah ikatan terakhir. Di pagi hari dia akan bersemangat dan bergembira. Jika tidak melakukan seperti ini, jiwanya jadi kotor dan malas.” (HR. Al Bukhari)

Pendakwah bebas, Wadi Anuar berkata, syaitan akan sentiasa bekerja untuk menggoda dan menyesatkan manusia pada setiap masa, oleh itu Rasululullah SAW mengajar cara untuk melepaskan ikatan tersebut.

"Segera bangun awal sebelum Subuh dengan membaca doa 'Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan (membangunkan) kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nya kami dibangkitkan.

"Perkara kedua yang boleh dikongsi NABI SAW adalah bangun membersihkan diri serta berwuduk," kongsinya menerusi hantaran di laman Facebook.

Selain itu, Wadi Anuar berkata, perkara ketiga yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim selepas bangun ialah melakukan solat sunat sekurang-kurangnya dua rakaat.

"Orang yang melaksanakan solat sunat sebelum masuk waktu Subuh (solat malam) secara umumnya akan melaksanakan ketiga-tiga amalan di atas.

"Jangan biarkan tali syaitan itu mengikat kita hingga menyebabkan kita menjadi malas. Pastikan setiap kali bangun tidur, ketiga-tiga tali ikatan dibuka dengan amalan di atas agar kita sentiasa bersemangat dan rajin melakukan amal soleh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram