'Hormati keluarga kecuali ke arah maksiat'


  • Massa
  • Sabtu, 19 Feb 2022

PENDIDIKAN sempurna dalam sesebuah keluarga akan sekali gus memelihara adat-adat Islam. — IZZRAFIQ ALIAS/ The Star

KISAH anak derhaka terhadap ibu bapa kandung sudah sinonim dengan masyarakat dahulu dan kini.

Namun, baru-baru ini lain pula kisahnya apabila seorang lelaki bertindak menetak ibu tirinya menggunakan parang sehingga terputus leher, dalam kejadian di Kampung Batu, Machang, Jerek, dekat Gua Musang, Kelantan pada Rabu.

Suspek direman tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu depan.

Siasatan awal mendapati, suspek merupakan seorang penagih dadah dan mengalami masalah mental.

Sehari sebelum itu, seorang bapa mengalami bengkak di telinga kiri akibat ditumbuk anak tiri dalam kejadian di Kampung Ruat, Yan, Kedah kira-kira pukul 8.30 pagi.

Selain itu, mangsa berusia 72 tahun turut mendakwa ditumbuk di kepala dan ditendang di dada serta muka oleh anak tiri berusia 29 tahun itu, dipercayai akibat tidak diberikan wang untuk mendapatkan bekalan dadah.

Ketika kejadian, mangsa bersama isteri berada dalam rumah sebelum didatangi suspek dan mengamuk.

Maklumat diperolehi pihak polis mengesahkan suspek seorang pesakit mental dan merupakan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU).

Mengulas mengenai perkara itu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron tidak menolak kemungkinan tindakan kedua-dua suspek disebabkan oleh faktor luaran termasuk pengaruh rakan sebaya.

Justeru, Mufti Terengganu itu berkata, pendidikan sempurna dalam sesebuah keluarga adalah penting, yang mana ia akan sekali gus memelihara adat-adat Islam.

"Kalau soal pendidikan dapat disempurnakan pada peringkat awal, kita kemudian dapat mengelakkan perkara buruk berlaku seperti kes dadah, perkara-perkara nakal dan InsyaALLAH kita dapat mengurangkan kes-kes ini," katanya kepada Majoriti.

Katanya, setiap keluarga seharusnya membelanjakan lebih banyak wang ke arah pendidikan.

"Dari segi belanjawan bulanan, kadang-kadang keluarga letak peratus yang kecil iaitu 1.5 peratus, sedangkan perkara-perkara ini memerlukan keluasan dari sudut pendidikan. Perlu ada kursus-kursus berbayar. Itu bermula sejak awal dan bukannya dari remaja," katanya lagi.

Pada masa sama, Mohamad Sabri berkata, setiap individu perlu menghormati orang lain yang lebih tua selagi perkara tersebut tidak membawa kepada kemaksiatan.

"Kalau kita kata ibu mertua juga kita kena hormati, apatah lagi watak ibu (ibu tiri) yang ambil alih peranan ibu sebenar.

"Kita kena hormat kecuali perkara-perkara tersebut memang membawa kepada maksiat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram