Jenazah bayi ditikam ibu di Kemaman selamat dikebumikan


  • 112
  • Isnin, 14 Feb 2022

KAKITANGAN Jabatan Agama Islam Daerah Kemaman membawa keluar jenazah bayi dari Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dikebumikan pada Isnin. — Sinar Harian

JENAZAH bayi lelaki yang meninggal dunia dipercayai akibat ditikam sebaik sahaja dilahirkan pada Selasa lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Bandi dekat Kemaman, Terengganu pada Isnin.

Jenazah bayi seberat 2.49 kilogram itu dimandi, dikafan dan disolatkan oleh beberapa kakitangan dan pegawai Jabatan Agama Islam Daerah Kemaman di Unit Forensik Hospital Kemaman sebelum dibawa ke tanah perkuburan itu pada 10.30 pagi dan urusan pengebumian selesai sepenuhnya pada 11.05 pagi.

Turut hadir pada majlis pengebumian itu ialah Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan dan ahli keluarga bayi tersebut.

Dalam kejadian pagi Selasa lepas, bayi lelaki yang baru sahaja dilahirkan, ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di dada, dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam, di sebuah rumah di Felcra Seri Bandi, Chukai di Kemaman.

Ibu kandungnya, remaja perempuan berumur 15 tahun kini berada dalam tahanan reman di lokap Balai Polis Kerteh hingga Selasa bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, bayi, tikam, pengebumian, Hanyan Ramlan,