'Hero Tamil' selamatkan wanita Melayu bersalin ketika Thaipusam


  • Tular
  • Selasa, 18 Jan 2022

TINGKAP kereta yang ditutupi kain 'vesthi' ketika seorang wanita berdepan detik cemas mahu melahirkan anak pada Hari Thaipusam. — Facebook

HARI Thaipusam yang jatuh pada hari Selasa bukan sahaja memberi keterujaan kepada kaum India di negara ini, malah ia seakan-akan memberi tuah kepada bangsa lain.

Tidak memilih bulu dalam memberi pertolongan, seorang lelaki India tampil menjadi 'hero' apabila menyelamatkan seorang wanita Melayu yang ingin melahirkan anak.

Berkongsi detik cemas pada pagi Selasa, LK Savantharaja yang juga seorang wartawan berkata, kejadian itu bermula apabila beliau mahu bersembahyang di Kuil Sri Subramaniar Swamy, dekat Batu Caves, Kuala Lumpur.

Ketika itu, katanya, beliau ternampak seorang wanita menjerit dan meminta bantuan di luar kuil tersebut.

Tanpa berfikir panjang, beliau terus bergegas menuju ke arah wanita berkenaan yang berada di dalam sebuah kereta.

"Saya dan beberapa pengunjung lain terus tutup tingkap kereta dengan kain (vesthi).

"Masa bayi dilahirkan, saya beritahu wanita itu bahawa dia dan bayinya dirahmati," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

272041118_4704938426299931_3597518031703571775_n

PASUKAN ambulans tiba selepas wanita tersebut selamat melahirkan anaknya. — Facebook

LK Savantharaja berkata, beliau teruja apabila melihat wanita itu selamat melahirkan bayi perempuan kira-kira jam 7.24 pagi.

Pada masa sama, beliau juga mendapatkan sebatang pisau yang digunakan untuk memotong tali pusat bayi tersebut.

272114104_4704937692966671_6295363922687416369_n

LK Savantharaja (kiri) sempat bergambar bersama bapa bayi tersebut. — Facebook

"Semua yang datang menghulurkan bantuan, mendoakan dan memberkati ibu serta bayi." katanya.

Beliau berkata, pasukan ambulans tiba di tempat kejadian sebaik sahaja bayi tersebut dilahirkan.

Katanya, beliau sempat bergambar bersama bapa bayi itu sebagai tanda kenangan, sebelum mereka sekeluarga menuju ke hospital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram