Tragedi rempuhan di kuil, 12 terbunuh


  • Benua
  • Sabtu, 01 Jan 2022

MATA Vaishno Devi adalah satu daripada kuil Hindu yang paling dihormati di utara India. — AFP

SEKURANG-KURANGNYA 12 orang terbunuh, manakala 13 lagi cedera dalam insiden rempuhan pada upacara keagamaan di wilayah Kashmir, Srinagar, India pada awal pagi Sabtu.

"Seramai 12 orang terkorban dan 13 lagi cedera. Jumlah mangsa dijangka meningkat apabila laluan menuju ke puncak bukit, iaitu lokasi upacara itu dipenuhi dengan orang ramai yang ingin melakukan penyembahan sempena tahun baharu," menurut pihak berkuasa.

Mata Vaishno Devi adalah satu daripada kuil Hindu yang paling dihormati di utara India dengan puluhan ribu orang mengunjungi rumah ibadah itu untuk bersembahyang setiap hari.

Dalam pada itu, seorang lagi pegawai pengurusan bencana yang mengesahkan jumlah kematian, berkata, rempuhan berlaku kira-kira jam 2.45 pagi

"Siasatan di peringkat tertinggi sudah diarahkan oleh pihak kerajaan berhubung insiden rempuhan di Kuil Shri Mata Vaishno Devi," katanya.

"Amat sedih dengan kehilangan nyawa," kata Perdana Menteri Narendra Modi di Twitter, sambil menambah bahawa dia sudah berhubung dengan pegawai tempatan.

"Takziah kepada ahli keluarga yang ditinggalkan. Semoga yang cedera akan segera pulih," kata perdana menteri itu.

Sebelum wabak itu, kira-kira 100,000 penganut akan melawat tapak itu setiap hari, tetapi pihak berkuasa telah mengehadkan jumlah harian kepada 25,000. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rempuhan, maut, kuil, India, Narendra Modi