Quran dan sains buka hati Cina Ipoh peluk Islam


  • Mukmin
  • Ahad, 13 Feb 2022

YAHYA pada awalnya merahsiakan dirinya telah memeluk Islam dari ibunya. — YouTube

KISAH penghijrahan seseorang itu memeluk Islam boleh disebabkan sesuatu peristiwa.

Bagi pemuda dari Ipoh, Yahya Yap Whye Choon, kisahnya memeluk Islam bermula selepas bapa saudaranya meninggal dunia dan tragedi itu memberi impak yang sangat mendalam di hatinya.

Antara persoalan yang bermain dalam minda lelaki berumur 21 tahun itu selepas kehilangan bapa saudaranya ialah selepas meninggal dunia, ke manakah seseorang itu akan pergi? Siapakah yang akan bertanggungjawab dengan kehidupan dan kematian?

"Selepas itu saya mulalah membuat kajian dengan agama-agama yang ada di muka bumi ini. Saya dapati agama Islam yang menarik hati kerana disebabkan dua faktor iaitu konsep Tuhan yang mudah dan faktor-faktor sains dalam Al-Quran.

"Dalam kajian saya, the simplicity of God itu apa saya jumpa ialah bila kita baca surah Al-Ikhlas dan ayat kursi, kita boleh nampak konsep Tuhan itu mudah. Tuhan tak tidur, tak makan, kita tak nampak Tuhan tapi Tuhan jaga kita. Konsep tu agama lain tidak ada seperti Islam.

"Faktor sains pula yang menarik hati saya, kalau buka Al-Quran kita nampak bukti Islam macam peredaran bumi dan cap jari. Jadi sebab itu saya percaya. Dalam Al-Quran sudah 1400 tahun dulu, sedangkan saintis jumpa 100 tahun lalu," katanya ketika berkongsi kisahnya bersama radio Zayan.

Menurutnya, kebanyakan pengajiannya dilakukan secara atas talian dengan inisiatif sendiri berdasarkan menelaah ilmu dari ustaz mengikut kepakaran masing-masing seperti Fiqh berpandukan Ustaz Azhar Idrus dan motivasi akan merujuk kepada Mufti Menk.

Jejaka jurusan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, kehidupan sebelum memeluk agama Islam menjadikannya seorang free thinker yang mana tidak bergantung kepada apa-apa, tidak memikir mati dan selalu berbuat sesuka hati walaupun menganuti agama Buddha.

"Perubahan paling besar ialah cara hidup saya sudah berpandukan dengan Al-Quran dan As-sunnah. Kita ada rujukan macam cara makan, cara tidur semua ada rujukan.

"Apa-apa yang tidak dapat dilakukan, kita boleh berserah kepada ALLAH. Jika sebelum ini saya memang panas baran jika tak dapat apa yang saya ingini namun semua berubah selepas saya memeluk Islam. Ada perubahan cara pemikiran," katanya.

Malah, dia juga berkongsi selama kira-kira dua tahun lebih memeluk Islam, Yahya merahsiakan tujuh bulan pertama dari ibunya dan Alhamdulillah ibunya menerima perubahannya dengan hati yang terbuka.

"Istiqamah itu datang dari iman, jadi saya kena jaga solat dan jauhkan yang haram. Semua itu macam generator untuk kita buat amalan baik dalam agama Islam. Saya sentiasa berharap ibu akan masuk islam dan sentiasa berterima kasih kerana menerima saya menjadi Islam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram