Jemaah umrah hanya perlu bawa IC tuntut bayaran di Tabung Haji


  • Primer
  • Jumaat, 11 Feb 2022

IBADAH umrah tertangguh selama sebulan bermula 8 Januari berikutan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah. — Gambar hiasan

JEMAAH umrah yang bakal menerima pembayaran daripada kerajaan ekoran menanggung kerugian sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Januari lepas, hanya perlu membawa kad pengenalan masing-masing ke mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, mereka tidak perlu melakukan sebarang pendaftaran memandangkan senarai nama akan diberikan oleh agensi pelancongan yang mengendalikan umrah mereka.

"Kita akan ambil nama (jemaah umrah yang terlibat) daripada agensi pelancongan, nama-nama ini kita akan pastikan clear, betul ada akaun dia, maka kita suruh ahli jemaah pergi ambil (bayaran) di Tabung Haji.

"Tidak perlu daftar. Bawa kad pengenalan sahaja. Apabila senarai nama diberi kepada Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), jadi Motac akan beri kepada Tabung Haji,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Perniagaan Program Inspirasiku MyHAUS di Kampung Raja Barang dekat Chendering, di Kuala Terengganu pada Jumaat.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan akan membayar 50 hingga 60 peratus kerugian yang dialami oleh jemaah umrah sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan bermula 8 Januari.

Ahmad Marzuk berkata, TH dan Motac telah melakukan tapisan senarai jemaah yang menanggung kerugian, bagaimanapun proses berkenaan masih dalam penelitian di peringkat akhir dan ia dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini.

Terdahulu, Idris menyampaikan replika cek bantuan perniagaan sebanyak RM5,000 kepada seorang asnaf yang menjalankan perniagaan kuih dan roti, Mohd Khaizuan Oslan Affandi, 34.

Secara keseluruhannya, Program Inspirasiku MyHAUS yang dilaksanakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah memberi bantuan bernilai RM50,000 kepada Mohd Khaizuan meliputi bantuan baik pulih tempat tinggal, bantuan kelestarian perniagaan dan bantuan pendidikan anak-anak.

Mohd Khaizuan yang juga bapa kepada empat anak itu sebelum ini turut menerima bantuan peralatan perniagaan seperti peti penyimpanan roti dan mesin membuat roti serta diberi bimbingan untuk menguruskan perniagaannya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram