MAJLIS akikah dan cukur rambut adalah salah satu amalan sunat yang dilakukan oleh ibu bapa terhadap bayinya yang baru lahir dan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub RA, Nabi Muhammad SAW ada menyebutnya.
Maksud dari hadis itu ialah "Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih (akikah) untuknya pada hari yang ketujuh, dicukur rambutnya dan diberikan nama.” (HR Abu Daud, no. 1522)
Namun selepas majlis rambut bayi itu dicukur, menjadi amalan dalam masyarakat Melayu ialah menimbang rambut bayi itu dan dari rambut tersebut akan disedekahkan dengan nilai emas atau perak sebagai 'zakat rambut bayi'.
Sejauh manakah amalan ini dari sisi agama, adakah sekadar turun-temurun masyarakat ataupun sunnah Rasulullah SAW?
Menjawab persoalan masyarakat itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam laman Facebooknya berkata, perbuatan mencukur rambut bayi dan menimbangnya adalah perbuatan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Namun, amalan yang dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi itu bukanlah dikategorikan sebagai zakat tapi hanyalah sedekah yang sunnah.
"Disunatkan mencukur rambut bayi pada hari ketujuh kelahiran dan bersedekah sama ada dengan nilai emas atau perak berdasarkan berat timbangan rambut." kata agensi itu.
Tambahnya, amalan bersedekah itu perlulah dengan nilai timbangan rambut sama ada dengan kadar emas atau perak berdasarkan kemampuan ibu bapa atau penjaga.
"Hal ini sebagaimana diriwayatkan dalam hadis daripada Saidina Ali, katanya Rasulullah mengakikahkan seekor kambing kepada Al-Hasan dan bersabda: “Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah perak mengikut berat rambut tersebut.” Ali berkata: “Fatimah pun menimbang rambut itu dan mendapati beratnya satu dirham atau setengah dirham.” (HR Tirmizi, no. 1519).
"Amalan itu amat digalakkan untuk dilaksanakan bagi yang berkemampuan untuk menzahirkan kegembiraan dan sebagai tanda syukur kepada ALLAH SWT," jelas pejabat mufti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram