SEORANG wanita hamil di Pakistan sanggup membiarkan kepalanya dipaku oleh bomoh sebagai jaminan akan melahirkan anak lelaki, kata doktor yang merawatnya, pada Rabu (9 Februari).
Dr Haider Khan, berkata wanita tersebut datang di hospital di barat laut Peshawar selepas gagal mencabut sendiri paku berkenaan menggunakan playar.
"Dia masih sedar sepenuhnya tetapi dalam keadaan amat sakit," kata doktor itu yang berjaya mengeluarkan paku berkenaan.
Difahamkan, ibu kepada tiga anak perempuan itu sedang mengandungkan anak perempuan keempat.
Imbasan X-ray menunjukkan paku sepanjang lima sentimeter itu menembusi bahagian atas dahi wanita berkenaan tetapi tidak kena pada bahagian otaknya.
Dr Khan berkata, tukul atau objek berat digunakan untuk mengetuk masuk paku itu.
Wanita itu pada mulanya memberitahu kakitangan hospital dia sendiri memasukkan paku tersebut di kepalanya atas nasihat seorang bomoh tetapi kemudian mengaku bahawa bomoh berkenaan yang melakukannya.
Terdapat ramai bomoh yang mengambil kesempatan terhadap penduduk di Pakistan, dengan mendakwa amalan mereka berteraskan fahaman Sufi, yang popular di negara itu, walaupun dilarang dalam Islam.
Di Asia Selatan, anak lelaki dianggap sebagai jaminan keselamatan kewangan berbanding anak perempuan.
Polis Peshawar sedang menjejaki wanita berkenaan untuk mencari dan menyoal siasat bomoh terbabit.
"Kita sudah mendapatkan gambar kamera litar tertutup (CCTV) dari hospital dan harap dapat menghubungi wanita berkenaan, segera," kata ketua polis Peshawar, Abbas Ahsan.
"Kita akan dapat menahan bomoh terbabit dalam masa terdekat," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram