BAS persiaran membawa 17 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terbabit kemalangan di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan pada pagi Selasa, dipercayai terbabas akibat tumpahan minyak di atas jalan raya.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II, Raihan Che Mat dilaporkan berkata, pihaknya mendapat panggilan kejadian pada pukul 7.41 pagi dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.
"Setibanya di lokasi kejadian, kami menerima laporan mengenai tumpahan minyak di atas jalan raya berhadapan restoran makanan segera di Bandar Baru Nilai.
“Terdapat sebuah bas dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok kemungkinan akibat tumpahan minyak berkenaan," katanya.
Raihan berkata, bas berkenaan membawa seramai 17 orang pelajar dan dalam perjalanan ke USIM.
"Terdapat empat orang pelajar cedera pada tangan dan ada yang cedera pada bahagian tulang belakang.
"Kesemua pelajar terbabit telah dihantar menggunakan ambulans unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ)," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram