
MODUL Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) Ihsan yang akan diperkenalkan kepada semua pelajar menengah mendapat kebimbangan daripada ketua masyarakat sivil dan kumpulan pendidikan.
Ahli kumpulan G25, Datuk Noor Farida Ariffin berkata, sekolah sepatutnya memberi tumpuan kepada subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
"Saya percaya kelas agama perlu dikurangkan di sekolah kerana lebih banyak masa wajar ditumpukan untuk subjek bahasa Inggeris, matematik dan sains.
"Jangan jadikan pelajar sebagai ustaz dan ustazah memandangkan mereka sudah cukup ramai.
"Kelas agama sebaliknya perlu menerapkan etika sebagai komponen penting," katanya.
Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, modul Kafa Ihsan akan diperkenalkan kepada semua pelajar sekolah menengah dalam masa terdekat.
Idris berkata, modul itu masih dalam proses penilaian akhir oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Bagaimanapun, beliau berkata, Kafa Ihsan akan menjadi mata pelajaran elektif dan pelajar digalakkan mengambilnya.
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Malaysia, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, sekolah perlu menghasilkan lebih ramai pelajar berkualiti selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan.
"Islam adalah tentang penyampaian, amalan yang betul dan ilmu pengetahuan agama," katanya.
Noor Azimah berkata, kurikulum yang dicadangkan itu nampaknya berkait dengan Jakim.
"Ini melanggar undang-undang kerana Jakim tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk perihal sekolah.
"Pengajaran Islam seperti yang kita tahu diselia oleh kerajaan negeri di bawah Majlis Agama Islam, Jakim tidak seharusnya dibenarkan menceroboh jadual waktu Kementerian Pendidikan," katanya.
"Saya berasa curiga kerana pengumuman itu bukan daripada Kementerian Pendidikan," katanya.
Pengerusi PAGE Melaka, Mak Chee Kin berkata, beliau 'hilang kata-kata' dengan cadangan itu.
"Saya berharap Kementerian Pendidikan mempertimbangkan semula cadangan ini. Ia menimbulkan kebimbangan kerana sekolah dilihat terlalu berorientasikan agama," katanya.
Seorang ibu bapa, yang mahu dikenali sebagai Noor berkata, modul Kafa Ihsan di sekolah adalah perkara baik asalkan ia kekal sebagai mata pelajaran elektif.
"Saya berpendapat Kafa Ihsan tidak diperlukan, sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan lebih banyak mata pelajaran berasaskan sains di sekolah kerana ia lebih bermanfaat untuk masa depan pelajar," kata pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur.
Pengerusi PIBG Institusi St Xavier, Victor Tan menggesa kementerian memperkenalkan modul yang relevan dalam dunia pasca pandemik. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram