UMUM mengetahui bahawa solat adalah ibadat yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam sebanyak lima kali sehari semalam.
Orang dewasa selalunya melihat kanak-kanak menunaikan solat dengan laju, termasuk rukuk ketika orang lain baru sahaja mengangkat takbir.
Bahkan, orang dewasa juga mungkin tidak terlepas menunaikan solat dengan laju dan tergesa-gesa akibat mengejar aktiviti selepas itu.
Pendakwah bebas, Asma' Harun menerusi laman Facebook berkata, situasi itu juga pernah terjadi ketika zaman Rasulullah SAW.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW masuk ke dalam sebuah masjid sebelum datang seorang lelaki masuk ke masjid sama untuk menunaikan solat.
Setelah selesai, dia memberi salam kepada Rasulullah SAW dan Baginda SAW menjawab dan berkata kepadanya:"Kembalilah dan ulangi solatmu kerana sesungguhnya kamu belum solat,"
Maka, lelaki itu mengulangi solatnya seperti yang dilakukannya pertama kali tadi kemudian datang menghadap Rasulullah SAW dan memberi salam.
Namun Baginda SAW tetap berkata: "Kembalilah dan ulangi solatmu kerana sesungguhnya kamu belum solat,”
Baginda SAW mengulangi perintah itu tiga kali hingga akhirnya lelaki tersebut berkata: "Demi Dzat yang mengutus tuan dengan hak. Aku tidak boleh melakukan yang lebih baik daripada itu. Maka ajarlah aku,"
Baginda SAW lantas berkata: "Jika kamu berdiri untuk solat, maka mulalah dengan takbir lalu bacalah apa yang mudah bagimu daripada Al-Quran. Kemudian rukuklah sebenar-benar rukuk dengan thoma'ninah, lalu bangkitlah (daripada rukuk) hingga kamu berdiri tegak.
"Lalu sujudlah sebenar-benar thoma'ninah, lalu angkat (kepalamu) untuk duduk hingga benar-benar duduk dengan thoma'ninah. Maka lakukanlah dengan cara seperti ini dalam seluruh solatmu," - Hadis Riwayat Bukhari
Mengulas mengenai perkara itu, Asma' Harun berkata, begitulah keadaan yang mana keadaan solat sisi Allah sekiranya seseorang melaksanakannya secara sambil lewa tanpa penghayatan sepenuhnya.
"Bayangkan, solat yang didirikan sejak kecil sehingga hari ini, rupa-rupanya belum sempurna. Allahuakbar.
"Sahabat, masih belum terlambat untuk kita memperbaiki kualiti solat kita. Selagi jasad masih bernyawa, selagi itu lah ada peluang dan ruang untuk menambah baik amalan seharian kita.
"Bermula hari ini mari kita sama-sama berusaha dirikan solat seperti mana yang diajarkan Rasulullah SAW, iaitu dengan penuh kekhusyukan dan sertainya dengan thoma’ninah," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram