Pemimpin 'berlakon' akan dilaknat ALLAH SWT


  • Mukmin
  • Rabu, 29 Dis 2021

RASULULLAH SAW mengancam pemimpin yang menipu kaum muslimin akan dilaknat oleh ALLAH SWT. — Gambar hiasan

DALAM keadaan rakyat ditimpa kesusahan, para pemimpin seharusnya turut menghayati dan menunjukkan simpati terhadap musibah yang melanda, kata Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, pemimpin wajib menunaikan hak dan keperluan rakyat manakala bantuan yang dijanjikan perlu sampai dan tidak hanya bersikap olok-olok.

Pesan Rasulullah SAW: "Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan ALLAH SWT mengharamkan baginya syurga,"Hadis Riwayat Muslim.

Ahmad Sanusi menerusi laman Telegram berkata, hadis itu menjelaskan mengenai amaran Rasulullah SAW kepada pemimpin Muslim yang menipu rakyatnya.

Menurut al-Qadi Iyyad, yang dimaksudkan dengan larangan menipu kaum muslimin itu adalah larangan mengkhianati hak-hak yang seharusnya ditunaikan ke atas mereka.

Kata al-Qadi Iyyad:"(Iaitu mereka) tidak mengambil berat tentang perundangan Islam, atau mengabaikan hak-hak orang Islam, atau tidak memelihara keselamatan mereka, dan tidak bersungguh menentang musuh Islam, atau meninggalkan kepimpinan yang adil; lalu ini semua termasuk dalam apa yang dikatakan sebagai pemimpin yang menipu kaum muslimin,"Hadis Riwayat al-Nawawi dan Syarh Muslim

Lebih membimbangkan, Ahmad Sanusi berkata, al-Imam al-Nawawi dan al-Imam al-San’ani melihat kesalahan pemimpin muslim yang menipu rakyatnya sebagai dosa besar.

Kata al-Imam al-San’ani:"Dan sesungguhnya ia (iaitu perbuatan menipu kaum muslimin ini) adalah termasuk dalam dosa-dosa besar. Ini disebabkan kerana ancaman yang diberikan (buat mereka yang melakukan dosa ini) adalah diharamkan ke atas mereka syurga.

"Ancaman ini seakan disamakan dengan ancaman yang dikenakan ke atas orang kafir iaitu mereka diharamkan dari masuk ke dalam syurga Allah seperti yang disampaikan di dalam al-Quran,"Hadis Riwayat al-Nawawi dan Syarh

Menerusi riwayat al-Hakim, Rasulullah SAW mengancam bahawa pemimpin yang menipu kaum muslimin akan dilaknat oleh ALLAH SWT.

Sabda Rasulullah: "Barangsiapa yang dilantik untuk menjadi pemerintah kaum muslim, kemudian dia memerintah dalam keadaan sambil lewa, maka dia akan dilaknat oleh ALLAH.

"ALLAH tidak menerima pengurusan dan pengadilan ke atasnya sehinggalah dia dimasukkan ke dalam neraka jahanam," Hadis Riwayat al-Hakim.

Mengulas lanjut, Ahmad Sanusi berkata, ancaman yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap pemimpin yang menipu rakyatnya amat dahsyat bagi memastikan mereka melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

"Apa yang membimbangkan pada hari ini, perbuatan menipu atau berlakon di hadapan rakyat terkadang menjadi perkara biasa buat sebahagian politikus.

"Mereka mengambil kesempatan atas kesusahan yang menimpa rakyat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram