JKM perjelas isu tular Rina Harun cuci simen bersih guna 'waterjet'


  • Primer
  • Isnin, 27 Dis 2021

RINA mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak di Sekolah Kebangsaan Salak Tinggi, Selangor baru-baru ini. — Facebook

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) memperjelas isu tular yang mendakwa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk, Seri Rina Mohd Harun hanya 'berposing’ mencuci simen bersih ketika terlibat dalam operasi pasca bencana banjir pada Ahad.

Kenyataan JKM memaklumkan keterlibatan Rina bukan sekadar mencuci simen di Sekolah Kebangsaan Salak Tinggi di Selangor yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), malah beliau turut melakukan kerja-kerja pembersihan dan susun atur logistik lain di sekolah itu.

"JKM selaku jabatan yang menguruskan operasi ini telah memohon kesudian Rina untuk mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan oleh pihak sekolah sukar dicuci sebelum ini.

"Memandangkan peralatan jet air sedia ada di lokasi pembersihan, Rina tidak menolak pelawaan JKM dan beliau melakukan kerja tersebut dengan dada yang lapang dan hati yang terbuka,” menurut kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu menyebut JKM amat berbesar hati atas kesudian Rina untuk turut serta dalam operasi tersebut yang bukan sekadar terlibat dalam pembersihan kawasan malah bersama-sama Sukarelawan Keluarga Malaysia mengemas bilik darjah, menyapu lantai dan tingkap bilik darjah, menyusun atur meja dan kerusi pelajar supaya keadaan kembali seperti sediakala memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

Tambah JKM, Rina turut mengemas khemah yang digunakan oleh mangsa banjir untuk simpanan bagi kegunaan pada masa akan datang.

"JKM berasakan tidak adil para warganet membuat tohmahan dan memperlekeh usaha dan penglibatan Rina dalam operasi pembersihan ini,” katanya.

JKM turut menyeru dan mengalu-alukan lebih ramai rakyat tampil mendaftar serta terlibat sebagai Sukarelawan Keluarga Malaysia dalam misi membantu operasi pasca banjir daripada membuat dan menyebarkan provokasi yang tidak bermanfaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rina harun, tular, operasi pasca banjir, JKM, PPS