Himpunan 'drama' ahli politik jadi bahan jenaka


TIGA ahli politik yang mendapat kecaman daripada netizen walaupun turun menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

ADA pelbagai hikmah daripada bencana banjir yang melanda negara khususnya di negeri Selangor.

Di sebalik dugaan yang menimpa mangsa, kita dapat lihat penyatuan pelbagai bangsa dan agama bersatu menghulurkan bantuan terutamanya dari rakyat sendiri tanpa bantuan kerajaan..

Malah, bantuan secara sukarela ini bukan sahaja diberi ketika bencana menimpa, tetapi juga selepas banjir surut termasuklah membantu membersikan rumah-rumah mangsa.

Tetapi sudah menjadi lumrah, dalam setiap bantuan itu, ada yang ikhlas dan ada juga yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

Bukan hendak mengata ahli politik, tetapi bila buka sahaja Facebook, intipati yang terkini adalah daripada netizen yang mentertawakan golongan tersebut.

Sebagai contoh, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menjadi tular kerana aksinya mencuci lantai dirakam hampir tujuh individu.

Aksinya itu mengundang pelbagai kecaman sehingga pihak kementerian terpaksa mengeluarkan kenyataan bagi menjawab isu Rina mencuci lantai bersih menggunakan 'waterjet'.

Menerusi ruangan komen status Facebook ini, ramai yang mengecam tindakan Rina dan menyifatkannya sekadar berlakon untuk menunjukkan dirinya prihatin.

Zyra dengan sinis berkata, doa rakyat yang meminta menteri menjadi bodoh mungkin sudah termakbul.

Muhammad Zaidi berkata, barisan Kabinet menteri sedia ada hari ini sangat pandai berlakon termasuklah di depan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mohd Zakuan Zabri pula berharap supaya 'waterjet' yang digunakan oleh Rina sepatutnya dibawa ke tempat yang lebih memerlukan.



TANGKAP layar komen-komen yang ditinggalkan netizen berkaitan dengan video Rina. — Facebook

Seorang lagi ahli politik yang menjadi bahan tawa ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ruangan status bergambar yang dimuat naik Mohamed Azmin di akaun Facebook miliknya juga dipenuhi dengan komen-komen yang berbaur sindiran.

Menerusi ruangan komen, ramai yang beranggapan bahawa Mohamed Azmin sekadar berlakon dan kehadirannya di situ tidak membawa sebarang penyelesaian pun.

Pengguna Facebook, Shuri Baratheon Mas berkata, apa yang Azmin lakukan setakat menjadi bahan tontonan kononnya membuat kerja.

Saadon Saadon pula berkata, Azmin sepatutnya datang bersama bantuan yang diperlukan dan bukan sekadar bertanya khabar.

21

TANGKAP layar komen-komen yang ditinggalkan netizen dalam satu status Facebook yang dimuat naik Azmin. — Facebook

Begitu juga gambar yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi akaun Facebook miliknya.

Menerusi gambar yang tular, Syed Saddiq dilihat sedang berehat di sebuah kedai makan dengan baju yang penuh lumpur sehingga ada yang terkena pada rambutnya.

Menerusi ruangan komen, ada yang menyatakan bahawa tindakan Syed Saddiq itu seakan melampau dan dibuat-buat.

Malah, ada juga mengatakan bahawa banyak sukarelawan yang tampil membantu tetapi tidak ada pun bajunya sekotor bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

komennn

TANGKAP layar komen-komen yang ditinggalkan netizen dalam Facebook Syed Saddiq. — Facebook

Iqbal Syed berkata, rakannya juga terlibat membersihkan rumah mangsa banjir tetapi kotorannya tidaklah sedahsyat Syed Saddiq.

Selain itu, Razif Jul pula menyifatkan tindakan Syed Saddiq itu seolah-olah ingin melawan Rina yang turut dikecam sebelum ini.

Arbar Nbr pula menasihatkan supaya Ahli Parlimen itu tidak telalu menunjukkan usahanya kerana orang akan menjadi lebih meluat.

Ini baru sebahagian daripada orang politik yang menjadi bahan tawa di media sosial dan sebenarnya masih banyak lagi aksi pemimpin politik yang tular di media sosial kerana 'lakonan' hebat mereka.

Kalau beginilah reaksi dan persepsi rakyat terhadap orang politik, apa agaknya yang akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum akan datang?

Masih ramaikah yang akan turun mengundi atau mungkin tiada kerana kesal dengan tindakan segelintir ahli politik yang suka membuat wayang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram