Bencana alam bukan kebetulan


  • Mukmin
  • Selasa, 21 Dis 2021

UMAT Islam semasa menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. — Gambar hiasan/The Star

BENCANA banjir yang melanda negara kita memberi pengajaran kepada orang Islam supaya mengutamakan urusan agama ALLAH SWT dalam setiap urusan.

Menerusi perkongsian di laman TikTok, pengguna @sam_myname mendakwa, semua tempat dipenuhi orang ramai termasuk taman tema dan pusat beli-belah, selepas kerajaan memberi kelonggaran membuka beberapa sektor ekonomi.

Namun, hanya rumah ALLAH SWT iaitu masjid yang masih kurang diimarahkan.

"Kita semakin lalu, masjid tidak lagi atau makin kurang dikunjungi orang Islam," katanya.

Dengan izin ALLAH SWT, katanya, keadaan berubah apabila masjid kini dipenuhi orang ramai apabila ia dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa-mangsa banjir.

Dua hari sebelum banjir besar melanda negara pada 18 Disember lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan pihaknya memerlukan beberapa minggu lagi, bagi membuat keputusan untuk merapatkan saf solat kepada Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata, sebelum dibawa ke Majlis Raja-raja, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melihat kesan varian Omicron terlebih dahulu.

Khairy mengakui perkara itu telah menjadi perhatian KKM selepas pihaknya menerima permintaan dari pelbagai pihak supaya melonggarkan syarat prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau.

“Kita sangat prihatin tentang perkara (saf solat dirapatkan) ini, bukan kita tidak mahu membenarkan.

“Cuma bagi kami (KKM) tempoh masa beberapa minggu lagi untuk lihat kesan daripada gelombang varian Omicron dan kita boleh keluarkan nasihat untuk dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu,” katanya.

Setakat jam 12 tengah hari Isnin, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, seramai 41,418 mangsa yang terkesan akibat banjir di lapan negeri telah dipindahkan ke 405 PPS.

Lapan negeri terbabit ialah Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ia melibatkan 8,384 keluarga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram