MUSIM kenduri kembali lagi selepas hampir sekian lama terkurung di dalam rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pastinya ramai yang mendapat jemputan pergi kenduri.
Ada segelintir daripada tetamu yang diundang akan membawa rakannya ke majlis kenduri itu, namun apakah hukum membawa rakan menghadiri kenduri tanpa dijemput.
Bagi mengulas isu, ini Ustaz Mohamad Dhiyauddin Abdul Kadir berkata di laman Twitternya bahawa, datang kenduri kemudian makan tanpa dijemput hukumnya haram melainkan tuan rumah memberi izin kepadanya.
Nabi SAW berkata,"Siapa datang makan kenduri tanpa dijemput maka dia masuk sebagai pencuri dan keluar sebagai perompak." — Riwayat Abu Daud
Menurut Imam Badruddin al-‘Aini, orang yang hadir ke walimatul urus tanpa dijemput diistilahkan oleh para ulama sebagai al-tufaili, iaitu mereka yang datang ke majlis atau perkumpulan manusia tanpa mereka menjemputnya.
Mohamad Dhiyauddin ataupun lebih dikenali sebagai addien90s di laman Twitter berkata, seseorang itu wajib memaklumkan kepada tuan punya majlis dan meminta izin walaupun yang tidak diundang itu hanya seorang.
"Menurut kitab Hashiah al-Bujairimi 3/434, perbuatan datang tanpa diundang itu sebenarnya boleh menyakiti tuan majlis jika dilihat dari beberapa sebab seperti makanan yang disediakan tidak cukup dari anggaran tetamu.
"Nampak remeh bagi tetamu tapi besar bagi tuan punya majlis. Kadang tuan majlis tu dah siap anggarkan makanan dan bilangan tetamu tapi jadi lari dari jangkaan sebab kehadiran tetamu tak diundang.
"Islam larang kezaliman dan menyakiti orang walaupun dalam bab kenduri makan," ujar Mohamad Dhiyauddin.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, jika seseorang itu yakin tuan rumah redha dengan kehadirannya, contohnya dia merupakan rakan atau saudara dan tiada permusuhan, namun terlupa untuk menjemput; maka dalam keadaan tersebut ia tidak diharamkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram