Khuatir bayi terkena penyakit ain


  • Mukmin
  • Ahad, 12 Dis 2021

PENYAKIT ain merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang tidak baik. — Gambar hiasan
JIKA anda merupakan golongan ibu bapa, mungkin anda pernah berada dalam situasi yang mana kawan atau keluarga memberi nasihat agar tidak menayangkan gambar anak yang baru dilahirkan di media sosial.

Jika anda pernah mendapat nasihat sebegini, jangan mudah melenting kerana nasihat tersebut mungkin dikaitkan dengan penyakit ain atau lebih mudah dikatakan sebagai penyakit hasad dengki.

Apakah kebenaran tentang penyakit ini? Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berkata, apabila ada segelintir pihak melarang ibu bapa menayang gambar bayi adalah kerana takut bayi itu boleh jatuh sakit akibat penyakit ain (penyakit pandangan jahat).

"Penyakit ain merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang tidak baik atau cemburu dan hanya pandangan dari orang yang dengki dan jahat sudah cukup untuk menyebabkan orang yang dipandangnya jatuh sakit," kata PMWP.

Dalam sebuah hadis dari Amrah dari 'Aisyah, dia berkata: " Suatu ketika Rasulullah SAW memasuki sebuah rumah. Tiba-tiba dia mendengar tangisan seorang kanak-kanak, lalu dia berkata yang bermaksud;

“Kenapa anak awak menangis? Tidakkah kamu menjumpai orang yang dapat merawatnya dari pengaruh mata jahat?,” [ Musnad Ahmad (24442) ]

Namun, PMWP berkata, tiada sekatan khusus untuk memuat naik gambar bayi di media sosial kerana penyakit ain juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada secara bersemuka atau bergambar.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak PMWP mencadangkan agar ibu bapa harus mempertimbangkan perkara untuk mencegah atau melindung bayi daripada penyakit ain dengan membaca doa Rasullah SAW untuk cucunya, Hassan dan Hussain:

Maksudnya: "Ya ALLAH! Aku berlindung dengan Kalimah-Mu yang sempurna dari setiap syaitan dan dari serangga berbisa dan dari setiap mata yang jahat, berbahaya, dan dengki." [ Sahih al-Bukhari (3371) ]

PMWP juga menasihati, adalah dilarang melakukan sebarang perbuatan syirik atau khurafat untuk mengelakkan penyakit ain seperti meletakkan gunting atau azimat pada bayi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram