KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa supaya mengkaji semula penguatkuasaan standard operasi prosedur (SOP) di semua premis dalam apa jua keadaan supaya ia tidak kelihatan seperti sebuah jenaka.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membangkitkan perkara itu, apabila membandingkan penjarakan fizikal yang tidak sama ketika orang ramai berada di beberapa premis dengan para jemaah yang menunaikan solat di masjid.
PPIM mendakwa, terdapat pelanggaran SOP di pasaraya, pasar malam serta tempat tumpuan orang ramai yang lain selepas beberapa kelonggaran pergerakan diumumkan.
Katanya, perkara sama berlaku di lapangan terbang, yang mana para penumpang dikehendaki mematuhi SOP sebelum menaiki pesawat, namun mereka duduk bersebelahan di kabin.
"Perlawanan bola sepak antara pasukan JDT dengan pasukan KL City telah membuatkan pengguna dan rakyat tertanya-tanya apakah sudah ada kelonggaran SOP ketika kita masih bergelut dengan wabak Covid-19?" soalnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Namun, katanya, keadaan berbeza apabila jawatankuasa di masjid-masjid bertegas untuk menguatkuasakan SOP dan masih selesa dengan saf-saf yang berjarak antara 1 hingga 1.5 metet antara jemaah.
"Ia umpama virus ini hanya akan berkunjung ke masjid-masjid dan surau-surau dan tidak berminat untuk menghadirkan diri di tempat-tempat awam lain," katanya kesal.
Mengulas lanjut, PPIM berkata, rakyat kini bosan dengan keadaan itu manakala kerajaan disifatkan seolah-olah tidak begitu teliti dan peka terhadap perbezaan dari sudut layanan terhadap beberapa keadaan, terutama yang melibatkan aktiviti merangsang ekonomi.
"Masjid dan tempat ibadat mungkin disifatkan sebagai tempat yang tidak memberikan apa- apa manfaat ekonomi maka SOPnya perlu ketat kerana ramai atau sedikitnya jemaah tidak memberikan kesan yang ketara.
"Jikalau inilah sikap kerajaan, maka ia adalah amat menyedihkan dan boleh dianggap bahawa pihak berkuasa terus memperkecilkan institusi kerohanian sebagai satu sumber penyelesaian yang paling ampuh untuk wabak ini. Lakonan sandiwara Covid-19 ini perlu dihentikan segera," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram