Baca surah berulang, bolehkah di dalam solat?


  • Mukmin
  • Isnin, 06 Dis 2021

PERBUATAN membaca surah yang sama dalam rakaat solat adalah dibolehkan.

PERNAHKAH anda berada dalam situasi apabila mana anda menunaikan solat secara sendiri ataupun imam yang mengetuai solat di masjid dan surau mengulangi bacaan surah yang sama selepas surah Al-Fatihah pada rakaat pertama dan kedua.

Mungkin situasi ini jarang berlaku, namun sebenarnya apakah pengulangan ayat Quran ataupun surah itu sesuatu yang dibolehkan dalam solat?

Mengulas persoalan ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi laman sesawangnya berkata, pada asasnya membaca surah selepas bacaan al-Fatihah adalah sunat walaupun pendek dan disunatkan kepada kita untuk membaca surah pada dua rakaat yang awal.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Mu’az bin Abdillah al-Juhaniy, bahawa seorang lelaki dari Juhainah mengkhabarkan kepadanya yang bermaksud:

"Bahawa dia mendengar Nabi SAW membaca di dalam solat Subuh ‘إِذا زُلزِلت الأرضُ’ pada kedua-dua rakaat. Aku tidak tahu sama ada Nabi terlupa ataupun sengaja membacanya di dalam kedua-dua rakaat," [Riwayat Abu Daud (816)]

Menurut perbahasan ulama seperti Sheikh Syamsul Haq Al-‘Azim iaitu sahabat pada awalnya ragu kerana Rasulullah jarang sekali mengulangi ayat yang sama dalam rakaat solat.

Jadi, para sahabat ragu sama ada perbuatan tersebut disyariatkan atau tidak.

"Ulama berbahas bahawa jika ia adalah perkara yang menimbulkan keraguan tetapi dilakukan oleh Rasulullah, maka ia adalah sesuatu yang disyariatkan.

"Ertinya, tiada masalah untuk mengikutinya kerana asal daripada perbuatan Baginda adalah untuk pensyariatan, manakala lupa adalah keluar dari perkara asal," jelas agensi agama itu.

Jadi perbuatan membaca surah yang sama dalam rakaat solat adalah dibolehkan.

Namun, PMWP berpendapat adalah afdhal membaca surah yang berlainan atau ayat yang berlainan berdasarkan kebanyakan amalan Nabi SAW ketika membaca selepas Al-Fatihah dalam solat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram