ISU merapatkan saf di masjid sering kali dibangkitkan oleh pelbagai pihak sejak prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di negara ini semakin dilonggarkan susulan jumlah individu lengkap vaksin semakin bertambah, selain jumlah kes yang sudah menurun berbanding sebelum ini.
Bukan sahaja golongan agama, isu ini turut mendapat perhatian umat Islam di negara ini, yang berharap pihak berkuasa agama di negara ini dapat melakukan sesuatu.
Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada Rabu mempersoalkan SOP solat berjemaah di masjid yang masih tidak membenarkan para jemaah untuk merapatkan saf sehingga hari ini.
Beliau yang dikenali dengan panggilan Dr Maza berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sering memberi alasan apabila isu merapatkan saf diutarakan.
"Setiap kali berbincang dgn KKM pasal nak rapat saf di masjid, terus segala kebimbangan pasal jangkitan Covid-19; varian baru, pengudaraan masjid, jumlah jemaah dan lain-lain dibangkitkan.
"Tapi bila tengok kenderaan awam; bas, kapal terbang dan lain-lain, begitu juga stadium, pasaraya dan lain-lain, tidaklah pula nampak kebimbangan tersebut. Saya nak bertanya pakar-pakar di KKM, virus Covid-19 ni datang masjid je ke?
"Ahli tetap solat jemaah ke semua varian ni sampai tak sempat pergi ke tempat lain? Kenapa virus minat sangat dengan masjid dan tidak berminat dengan tempat lain?
"Cadangan saya, seperti tempat lain, elok KKM menilai masjid dengan layanan yang sama!!" katanya dalam satu hantaran Facebook pada Rabu.
Kenyataan beliau disambut baik oleh sebahagian netizen di ruangan komen yang bersetuju supaya KKM mula melonggarkan SOP solat berjemaah di masjid dan surau dengan membenarkan jemaah merapatkan saf.
Ada juga netizen yang mempersoalkan SOP masjid yang tidak membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah untuk hadir solat berjemaah.
Antara netizen yang menyokong penyataan Dr Maza. — Facebook
"Boleh bergabung semua ulama dan para asatizah kaji balik dan perbetulkan balik. Sebab apa kata-kata dan tindakan atau keputusan asatizah dan ulama dijadikan contoh dan panduan. Bangkit tegakkan syariat Islam ikut Sunnah seperti dulu-dulu. Insha Allah," kata Azilin Tahir Noor.
"Betul. Bila mai tang masjid semua tak diendahkan.
"Lagi satu, pengalaman saya... rata-rata pergi masjid, kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang masuk. Apakah solat itu hanya untuk orang dewasa? Lama kelamaan, jangan terkejut pula andai generasi seterusnya masjid kian dilupakan," luah Aimi Arif.
Namun, ada juga netizen yang tidak sependapat dengan Dr Maza dengan menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman virus Covid-19 yang boleh menular daripada sesiapa sahaja, termasuk jemaah di masjid.
Pengguna Facebook, Merong Mahawangsa menegaskan, terdapat ahli jemaah yang tidak mematuhi SOP seperti melengkapkan vaksin, yang boleh memberi risiko terhadap jemaah lain.
Katanya, buat masa ini, lebih baik jika semua jemaah mengikut apa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa menggunakan kaedah fiqah dan keringanan ketika menghadapi wabak.
Salah seorang yang berbeza pendapat dengan Dr Maza. — Facebook
"Soalnya berani ke nak rapat saf? Lebih-lebih lagi bila di kiri, kanan, depan, belakang batuk, bersin bagai?
"Macam mana kalau sebelah anda seorang yang antivaksin? Bukan semua ahli jemaah yang jujur ikut SOP.
"Pada saya tak perlu terburu-buru. Selagi ada rukhsah dan keluasan fiqah, ambillah. Itu anugerah ALLAH kepada kita," ujarnya. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram