SETIAP manusia pasti tidak terlepas daripada membuat dosa dan kezaliman, manakala ALLAH SWT masih membuka pintu taubat selagi belum tiba masa ajal seseorang.
ALLAH SWT mengingatkan di dalam al-Quran bahawa apabila tiba saat kematian, akan ada manusia yang memohon kepada ALLAH SWT supaya diberikan peluang untuk kembali beribadah di dunia.
Firman ALLAH SWT: "Sehinggalah apabila datangnya kematian, dia berkata: Wahai Tuhanku, kembalikan aku ke dunia, ” Ayat 99, Surah al-Mukminun
Menurut Dr Ahmad Sanusi Azmi di laman Telegram, sebahagian mufassir menyatakan bahawa ayat berkenaan berkait rapat dengan situasi orang yang menyesal akan kemungkaran serta maksiat yang mereka lakukan di muka bumi ini.
Beliau yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) secara umumnya berkata, ayat itu turut mengingatkan keadaan muslim mahupun kafir yang berada di ambang kematian mereka.
Ahmad Sanusi berkata, Saidina Abu Bakar juga pernah memberi pesan kepada Aisyah ketika sahabat Nabi itu berada di ambang kematian.
Tambah Ahmad Sanusi, Abu Bakar adalah individu yang paling banyak menyumbang untuk Islam, yang mana segala hartanya disumbangkan untuk Islam sehingga saat kematian.
Katanya, Abu Bakar hanya meminta supaya dikafankan dengan pakaian yang sedia ada dan meminta supaya baju tersebut dibasuh dan dikafankan.
"Sedangkan hartanya yang lain telah disumbangkan kepada Islam. Lihat bagaimana pengakhiran orang soleh, sehingga di saat kematian masih sempat memikirkan amalan kebajikan yang boleh dilakukannya," katanya.
Bukan itu sahaja, Ahmad Sanusi berkata, Saidina Umar Al Khattab turut memohon keampunan ALLAH SWT di saat kematian khalifah itu.
Ahmad Sanusi berkata, di saat kematian Umar, kepala khalifah itu dipangku oleh anaknya iaitu Abdullah.
Beliau berkata, Umar juga meminta Abdullah supaya meletakkan pipinya ke tanah dan memohon keampunan dari ALLAH SWT.
Katanya, di saat kematian itu, Umar masih sempat lagi memohon keampunan kepada ALLAH SWT, sedangkan sahabat nabi itu adalah antara sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga.
"Sahabat-sahabat yang telah dijanjikan syurga ini, di saat kematian mereka masih lagi utuh memikirkan sumbangan mereka untuk Islam bahkan memohon keampunan dari ALLAH SWT.
"Mereka adalah watak utama yang berjuang untuk mempertahankan Islam. Namun di saat kematian, mereka turut bimbang dengan amalan mereka lalu mereka memohon keampunan dari ALLAH," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram