MASYARAKAT sering mempersoalkan perihal jodoh kepada golongan bujang terutama terhadap golongan wanita sehingga ada ibu bapa yang menggunakan pelbagai cara termasuklah acara mandi bunga untuk mempercepatkan jodoh anak perempuan mereka.
Bagaimanapun timbul persoalan dalam kalangan masyarakat sama ada mandi bunga dibenarkan dalam Islam atau ia semata-mata adat atau budaya yang sekian lama dipraktikan oleh rakyat negara ini terutamanya orang Melayu.
Mengupas tentang persoalan ini, pendakwah bebas, Ustaz Mustafar Mohd Suki berkata mandi bunga tidak menjadi kesalahan dalam Islam tetapi bergantung kepada tujuan berbuat demikian.
"Sebelum kita mandi bunga, perlulah jelas mengenai tujuan mandi bunga itu kerana jika tujuannya berkaitan untuk naikkan seri, kesihatan memang tiada masalah sebagaimana kita maklum sebahagian bunga mempunyai aroma dan wangian yang memberi kesan positif kepada diri.
"Mandilah bunga apapun kalau atas tujuan seperti kesihatan adalah dibolehkan kerana ia tak termasuk dengan perkara yang dihalang oleh syarak.
"Namun, kalau kita kata seseorang itu tidak mendapat jodoh kerana dia tidak amalkan mandi bunga ia seolah-olah menganggap mandi bunga ini sebagai satu kewajipan. Itu akan menjadi isu kerana jodoh, rezeki, pertemuan di tangan ALLAH dengan usaha kita.
"Secara umum, amalan cepatkan jodoh tidak ada tapi kita boleh ikhtiar dengan meminta pertolongan ALLAH melalui doa kepada-NYA," jelas Ustaz Mustafar.
Firman Allah SWT, maksudnya: "Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah al-Ghafir, 40:60)
Sementara itu, pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ustaz Mahadi Mohammad berkata, perkara utama yang boleh dilakukan untuk mempercepatkan jodoh dalam Islam ialah dengan berdoa, beristighfar dan juga bertaubat.
Ini kerana katanya, mungkin dosa yang menjadi penyebab jodoh kita terhalang.
"Banyakkan ibadat dan perkara yang mendekatkan diri kepada ALLAH serta bersedekah kerana sedekah akan membuka pintu rezeki.
"Jodoh juga adalah sebahagian daripada rezeki. Kemudian boleh berusaha dengan cara-cara yang harus dan tidak menyalahi syarak," kata Mahadi kepada Majoriti.
Mahadi berkata, cara-cara yang harus boleh dilakukan dalam mencari jodoh adalah seperti mencari orang tengah dan menjaga penampilan diri seperti mandi bunga atas tujuan naikkan seri.
"Kita perlu berusaha untuk cari jodoh, bukan duduk sahaja. Selalulah menyambung silaturrahim dan eratkan hubungan dengan ahli-ahli waris kerana itu juga boleh membuka pintu jodoh," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram